Bekas editor Borneo Bulletin meninggal dunia

Bekas editor Borneo Bulletin meninggal dunia

pg03_151117_eBANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Wartawan veteran dan bekas editor Borneo Bulletin, Charles Rex de Silva meninggal dunia awal pagi ini, setelah menjalani rawatan kanser pankreas di sebuah hospital swasta di Colombo, Sri Lanka sejak beberapa minggu lalu.

Mendiang yang lebih mesra dengan panggilan Rex, 74, menyertai Brunei Press Sdn Bhd sebagai editor Borneo Bulletin sejak 1990 hinggalah bersara pada 1 Julai 2011.

Di bawah pimpinannya, Borneo Bulletin berkembang daripada sebuah akhbar mingguan kepada akhbar harian pada September 1990 selain menyaksikan peningkatan Media Permata daripada hanya sekadar sisipan dalam Borneo Bulletin menjadi sebuah akhbar mingguan dan seterusnya akhbar harian unggul.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam dunia kewartawanan dan pernah berkhidmat sebagai editor ‘The Sun’ dan ‘Weekend,’ selain menjadi koresponden agensi berita Jerman, DPA dari tahun 1970 hingga 1990. Beliau yang mempunyai bakat fotografi dan melukis, juga dikagumi, malah sangat dihormati sebagai seorang ‘wartawan dan bos terbaik.’

Dalam ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-20 Media Permata, Rex antara lain menulis;

“Saya mengucapkan terima kasih atas ingatan terhadap sahabat lama tatkala meraikan sambutan ulang tahun ke-20 Media Permata. Setentunya saya sangat gembira dan amat bangga untuk bersama-sama mengucapkan tahniah ketika Media Permata merayakan dua dekad sebagai surat khabar berbahasa Melayu terulung di Negara Brunei Darussalam.

“Meskipun dalam cara sekadar yang minimum sahaja, saya bersyukur berpeluang terlibat sama sejak dari awal penerbitan Media Permata apabila ia membesar dari Borneo Bulletin untuk menjadi sebuah surat khabar harian sendiri yang berpengaruh dan dihormati setelah beberapa tahun diterbitkan sebagai sisipan lapan halaman akhbar berbahasa Inggeris itu. Tidak perlu dinyatakan lagi bahawa kejayaan yang dicapai oleh Media Permata sehingga ke hari ini, adalah sepenuhnya atas komitmen, dedikasi serta sikap profesionalisme wartawan-wartawan yang diperkukuhkan lagi oleh sokongan padu pengurusan Brunei Press.

“Salah satu faktor yang mendorong kejayaan Media Permata menjadi sebuah akhbar yang dihormati dan benar-benar berwibawa ialah kerana dasar editorialnya yang bebas dalam mengumpul dan menyebarkan berita oleh karyawan-karyawan di bilik berita seperti wartawan-wartawan dan juga editor.

“Saya berharap agar Media Permata terus kukuh dan digemari pembaca serta kekal sebagai surat khabar harian berbahasa Melayu terulung di Brunei untuk dekad-dekad yang akan datang.”

ARTIKEL YANG SAMA