Bekas eksekutif Petrosaudi akan merayu

Bekas eksekutif Petrosaudi akan merayu

SINGAPURA, 4 Sept (Bernama) – Bekas eksekutif Petrosaudi Xavier Andre Justo, warga Switzerland yang ditahan di penjara Bangkok atas sabitan memeras ugut – dan terlibat dalam skandal kewangan, bercadang untuk merayu terhadap tempoh hukuman penjara tiga tahun, menurut laporan The Straits Times (ST).

“Saya tidak menjangkakan tiga tahun,” katanya. Justo dijatuhi hukuman penjara itu pada 17 Ogos tetapi menjangkakan kerjasama kepada polis dan pengakuan dibuatnya akan membawa hukuman lebih ringan, katanya dipetik sebagai berkata demikian kepada akhbar tempatan itu.

Beliau diberi tempoh sehingga 17 Sept untuk mengemukakan rayuan.

Dalam pada itu beliau sedang berusaha mendapatkan khidmat peguam bela warga Thailand yang baharu, katanya di penjara reman Klong Prem di Bangkok, tempat beliau sedang menjalani hukuman penjara.

Peguam belanya dari Switzerland, Marc Henzelin turut hadir semasa temu ramah itu berlangsung.

Justo mengutuk pihak yang merujuknya sebagai “whistle-blower” atau ‘pemberi maklumat’ yang menjual data dicurinya daripada bekas majikan PetroSaudi, yang mengandungi butiran urus niaga antara firma tenaga Saudi dan syarikat pelaburan Malaysia yang bermasalah, 1MDB.

“Saya bukan seorang whistle-blower. Adalah mudah untuk dilihat dalam imej itu, tetapi saya tidak. Mereka (pembeli-pembeli) mempunyai agenda politik yang saya tidak tahu (mengenainya). Saya tidak tahu apa yang ada dalam fail-fail berkenaan. Saya tidak tahu yang mereka cuba menjatuhkan sebuah kerajaan, saya bodoh,” dakwanya.

Justo, yang berhenti kerja daripada PetroSaudi pada 2011, menuntut 2.5 juta Swiss francs (S$3.7 juta) daripada ketua eksekutif PetroSaudi pada 2013 sebagai balasan untuk tidak mendedahkan maklumat yang ada padanya mengenai syarikat itu.

Syarikat itu pernah membayarnya sekali sebelum itu dan enggan membayarnya sekali lagi, sebaliknya membuat laporan kepada polis Thailand pada Mei tahun ini.

Pada Jun, Justo ditahan di rumah mewahnya di pulau peranginan Koh Samui di Thailand, menurut laporan ST.

ARTIKEL YANG SAMA