Bekas guru besar jual ayam hiasan, burung dalam talian

Bekas guru besar jual ayam hiasan, burung dalam talian

LUMUT, 17 Ogos – Perniagaan dalam talian cukup dikenali sebagai medium untuk menjual barangan seperti kain, alatan elektronik, kosmetik dan produk hiasan, namun berbeza buat bekas guru besar, Beh Lek Kia, 64, yang memilih menjual ayam hiasan serta burung.

Antara yang dijual adalah 15 spesies ayam unik seperti ayam cemani, ayam selasih, ayam bantam, ayam cochin dan ayam mutiara yang diimport dari pelbagai negara termasuk Indonesia, China serta Belanda.

Beh yang menjalankan perniagaan berkenaan bersama dua anaknya Beh Boon Cong, 30, dan Beh Boon You, 26, turut menjual dalam talian pelbagai jenis burung seperti burung merak, burung kuak, burung puyuh Mexico selain itik dan angsa.

“Pada mulanya sekitar tahun 2005, anak-anak saya suka membawa pulang burung, ayam dan itik ke rumah untuk dibela dan saya membina reban untuk menternak haiwan tersebut.

“Semakin hari haiwan tersebut semakin bertambah maka kami mula menjualnya kepada orang terdekat sebelum menjual dalam talian,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Sungai Rumput baru-baru ini.

Disebabkan spesies ayam yang dijual sukar ditemui di Malaysia, perniagaan Beh yang mulanya sekadar hobi kini meraih pendapatan lumayan sehingga mampu mencecah nilai jualan RM3,000 seminggu.

“Dari segi pasaran, pembeli suka membeli ayam spesies cemani berusia dua bulan yang dijual sekitar RM300 sepasang untuk tujuan perubatan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai urus niaganya, Beh berkata beliau dan anaknya mula berjinak-jinak sejak tahun 2008 di laman sesawang kerana ia lebih mudah diuruskan.

“Anak saya akan memasukkan gambar dan melayan pembeli di laman sesawang manakala saya akan menghantar sendiri kepada pembeli sekitar Selangor, Pulau Pinang dan Perak secara percuma.

“Pembeli dari negeri lain perlu membayar kos penghantaran haiwan tersebut yang dihantar menggunakan bas. Semuanya dijamin selamat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA