Bekas ketua penilai bidaan Piala Dunia FIFA digantung

Bekas ketua penilai bidaan Piala Dunia FIFA digantung

ZURICH, 7 Julai (AFP) – Badan induk bola sepak dunia, FIFA hari ini menggantung bekas ketua jawatankuasa penilai biadaan Piala Dunia 2018 dan 2022 untuk selama tujuh tahun kerana melanggar kod etika badan itu.

Harold Mayne-Nicholls, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Chile menulis laporan untuk menyerahkan hak tuan rumah kepada Qatar, calon paling corot dalam bidaan terakhir Piala Dunia 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Jawatankuasa Peraturan Etika FIFA mengharamkan Mayne-Nicholls, 54, daripada mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat negara dan antarabangsa selama tujuh tahun.

FIFA bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci mengenai tuduhan dikenakan terhadap Mayne-Nicholls, namun ia berkaitan menyalahi peraturan kerahsiaan dalam kod etika badan itu.

Mayne-Nicholls dalam akaun Twitternya mengesahkan akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan penggantungan itu dan mempersoalkan pengumuman keputusan itu sebelum dia dipanggil untuk menjalani proses siasatan.

Pada November tahun lalu, Mayne-Nicholls mendedahkan dia disiasat berkaitan beberapa emel yang dihantarnya kepada Aspire Academy di Qatar untuk anak dan anak saudaranya menjalani latihan di akademi itu.

Beliau juga bertanya mengenai peluang untuk abang iparnya menjadi jurulatih tenis dan ketika itu dia sedang merancang untuk mencabar Sepp Blatter sebagai Presiden FIFA.

ARTIKEL YANG SAMA