Bekas mangsa culik militan Abu Sayyaf masih berada di Sabah

Bekas mangsa culik militan Abu Sayyaf masih berada di Sabah

KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) – Empat rakyat Malaysia dari Sarawak yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina dan dibebaskan pada Rabu lepas masih lagi berada di Sabah bagi membantu siasatan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

“Masih di Sabah,” kata Abdul Rashid kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Ditanya bila keempat-empat mereka dijangka dibawa pulang ke Sarawak, beliau berkata belum pasti.

Keempat-empat mereka ialah adik beradik Wong Teck Kang ,31, dan Wong Teck Chii ,29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien ,21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing ,34. Mereka diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lepas.

Pada Jumaat, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata keterangan keempat-empat individu terbabit mula diambil sejurus mereka tiba di Kota Kinabalu dari Sandakan pada Rabu.

Awang Sahari meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pembebasan mangsa yang boleh mengelirukan orang ramai.