Bekas ‘mat despatch’ mengaku salah bersubahat menipu S$1.1 juta

Bekas ‘mat despatch’ mengaku salah bersubahat menipu S$1.1 juta

SINGAPURA, 23 Dis – Seorang bekas ‘mat despatch’ yang membantu mengaturkan kemalangan kereta dalam penipuan untuk mendapat pampasan insurans lebih S$1.1 juta, mengaku bersalah semalam bagi 25 tuduhan bersubahat untuk menipu.

Rahmat Mohd, 37, yang merupakan sebahagian daripada sebuah sindiket 29 orang, juga mengaku bersalah bagi 88 tuduhan serupa yang akan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan bulan depan.

Kesalahan-kesalahan itu berlaku antara Mei 2011 dan Oktober 2013, melibatkan 16 syarikat insurans dan tuntutan bagi 21 kemalangan palsu. Mahkamah diberitahu bahawa pada 2011, Rahmat bertemu bos sebuah bengkel kereta, Sollihin Anhar, 42 tahun.

Rahmat bersetuju membantu Sollihin membuat tuntutan insurans palsu, dengan mendapatkan pemilik kenderaan dan mengaturkan kemalangan di sebuah tempat sunyi.

Dia akan meletak kenderaan itu pada kedudukan yang telah dicadangkan oleh Sollihin, sebelum menyebabkan sebuah kereta sengaja melanggarnya sama ada dari depan atau belakang.

Bertindak atas arahan Sollihin, Rahmat turut mengingatkan pemandu kereta yang dilanggar supaya melaporkan kemalangan tersebut dalam Kenyataan Kemalangan Singapura.

Rahmat dibayar kira-kira $200 bagi setiap kenderaan yang dia dapatkan dan apabila dia membantu pemilik atau pemandu membuat tuntutan insurans kenderaan dan tuntutan insurans kecederaan peribadi palsu.

Antara Januari 2012 dan Mac 2014, 13 syarikat insurans membuat laporan polis berasingan mengenai tuntutan insurans palsu untuk kemalangan jalan raya yang berlaku di lokasi berbeza antara Mei 2011 dan Oktober 2013.

Kesemuanya, Rahmat berpakat membuat 44 tuntutan insurans palsu bagi kerosakan kenderaan, dan 70 tuntutan insurans bagi kecederaan peribadi.Tuntutan insurans palsu itu bernilai S$1,137,318.

ARTIKEL YANG SAMA