Bekas Menteri Luar Arab Saudi meninggal dunia

Bekas Menteri Luar Arab Saudi meninggal dunia

RIYADH, 10 Julai (Agensi) – Putera Arab Saudi, Saud al-Faisal, yang menjadi Menteri Luar paling lama berkhidmat di dunia selama 40 tahun sehinggalah bersara tahun ini, meninggal dunia hari ini.

Beliau berusia 75 tahun.

Putera Saud adalah ikon diplomat mewakili dunia Asia Barat yang terbabit dalam menangani banyak krisis mewakili negara Teluk yang kaya dengan minyak.

Antara pembabitannya ialah Perang Saudara di Lubnan pada 1970-an dan 1980-an, siri perjanjian damai Arab-Israel, penaklukan Iraq ke atas negara jiran Kuwait pada 1990 dan yang terkini Perang Teluk, serangan pengganas al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat pada 11 September 2001, penaklukan ke atas Iraq yang diketuai Amerika Syarikat pada 2003, revolusi dunia Arab atau dikenali Arab Spring, perang saudara Syria dan keganasan kumpulan Negara Islam (IS).

Media rasmi kerajaan Arab Saudi mengumumkan kematian Saud pada tengah malam waktu tempatan.

Pengumuman rasmi yang turut disiarkan televisyen tempatan itu bagaimanapun tidak menyebut punca kematian.

Bekas Menteri Luar Arab Saudi Putera Saud al-Faisal yang telah berkhidmat selama 40 tahun. – AFP
Bekas Menteri Luar Arab Saudi Putera Saud al-Faisal yang telah berkhidmat selama 40 tahun. – AFP

Namun sebelum ini Putera Saud sudah menjalani beberapa pembedahan pada belakang badannya sehingga terpaksa berjalan dengan bertongkat.

Berita kematian Putera Saud mula tersebar selepas jurucakap Kementerian Luar Saudi, Osama Nugali, menulis dalam akaun rasmi Twitter: “Air mata mengalir, sedih di hati. Kami semua sedih apabila berpisah dengan anda.”

Putera Saud mula memegang jawatan di Kementerian Luar pada 1975 dan bersara pada 29 April lalu kerana keadaan kesihatan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry pernah berkata bahawa Putera Saud bukan saja Menteri Luar paling lama di planet namun antara yang paling bijak.

Tempat Putera Saudi digantikan oleh Adel al-Jubeir, yang sebelum ini menjadi Duta Arab Saudi di Washington.

Putera Saud adalah anak lelaki kepada raja ketiga Arab Saudi, Raja Faisal, yang memerintah dari 1964 sehingga 1975.

Putera Saud memegang ijazah ekonomi dari Princeton University dan pernah menjadi Timbalan Menteri Petroleum Arab Saudi.

Beliau fasih dalam bahasa Inggeris dan Perancis.