Bekas menteri luar nafi Iran terlibat

Bekas menteri luar nafi Iran terlibat

BUENOS AIRES, 19 Mei – Bekas menteri luar negeri Iran dan seorang lagi bekas pegawai telah menafikan penglibatan Tehran dalam pengeboman ke atas pusat Yahudi di Argentina pada 1994, yang telah diperbaharui semula penelitiannya selepas kematian seorang penyiasat.

Menteri luar negeri Iran, Ali Akbar Velayati pada 1994 dan penasihat hal ehwal luar negeri pada ketika ini kepada pemimpin agung negara itu, menyifatkan pertuduhan penglibatan Iran dalam serangan yang membunuh 85 orang dan mencederakan beratus yang lain adalah ‘tidak berasas, palsu dan satu penipuan’.

Temu bual Velayati di Tehran oleh pasukan berita C5N Argentina telah disiarkan semalam bersama satu temu bual dengan atase kebudayaan dari kedutaan Iran di Buenos Aires pada 1990-an, yang juga menafikan penglibatan itu.

Mahkamah Argentina telah menuntut ekstradisi ke atas lapan warga Iran yang dipercayai terlibat dalam serangan itu.

Selepas bertahun-tahun siasatan tertangguh, kes pengeboman itu dibangkitkan semula selepas ketua pendakwa ditemui mati pada Januari menjelang perbicaraan kongres yang memerlukannya untuk memberi keterangan.

Beberapa hari sebelum kematian Alberto Nisman, yang keluarganya gelar satu pembunuhan, pendakwa memfailkan laporan yang mendakwa Presiden Argentina, Cristina Kirchner telah melindungi para pegawai Iran yang dituduh mengatur pengeboman itu.

Bagaimanapun, mahkamah dua kali telah menolak pertuduhan ke atas presiden berkenaan. – AFP