Bekas murid SLAD 1967 berhimpun semula

Bekas murid SLAD 1967 berhimpun semula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Setelah berpisah hampir 50 tahun lalu, pelajar-pelajar darjah 1A dan 2A Sekolah Latihan Anggerik Desa (SLAD) pada tahun 1967, telah dipertemukan semula di Majlis Penyatuan Semula Mantan Murid-Murid Darjah 1&2 SLAD di Restoran Seasons di Gadong, baru-baru ini.

Majlis berkenaan menyaksikan kehadiran Mantan Guru Besar SLAD, Haji Asma Khan Abdul Khan serta barisan mantan guru-guru Darjah 1 dan 2 A antaranya Haji Ahmad Yaakub bin Haji Jafar dan Haji Ismail bin Haji Metali.

Mantan Ketua Darjah 1 dan 2 A Haji Aminuddin bin Haji Mohd Ali keitka menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata mereka sangat bersyukur untuk bertemu semula orang yang berperanan penting dalam perkembangan pendidikan mereka di peringkat sekolah rendah pada pertengahan 60-an dahulu.

Menurut beliau, usaha mengumpulkan semua pelajar bukan mudah namun kerjasama serta respons positif semua pihak dalam menjayakan majlis berkenaan adalah suatu yang sangat dihargai.

Pertemuan semula menggamit kenangan pada zaman persekolahan di SLAD.
Pertemuan semula menggamit kenangan pada zaman persekolahan di SLAD.
Bekas murid dan guru Darjah 1A dan 2A SLAD pada tahun 1967 bergambar ramai di majlis pertemuan semula, baru-baru ini.
Bekas murid dan guru Darjah 1A dan 2A SLAD pada tahun 1967 bergambar ramai di majlis pertemuan semula, baru-baru ini.

Sementara itu, mewakili barisan guru yang hadir, Haji Ahmad Yaakub berkata pada tahun itu beliau merupakan guru pelatih yang menjalani latihan amali di sekolah berkenaan.

“Masih segar diingatkan saya kenangan di sana kerana di sana banyak memberikan saya pengalaman dan seterusnya menjadi titik permulaan karier perguruan saya sehingga pencen, namun apa yang sedihnya bangunan sekolah itu tidak ada lagi namun setiap kali lalu di kawasan tapak sekolah pastinya kenangan manis akan terbayang semula,” katanya.

Di majlis itu, bekas murid dan guru-guru berkenaan berkesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderahati kenangan daripada mantan murid-murid kepada bekas guru-guru mereka dan mantan guru besar SLAD.

ARTIKEL YANG SAMA