Bekas pakar b...

Bekas pakar bedah didapati bersalah bunuh 5

SYDNEY, 12 Jan – Bekas pakar bedah hari ini didapati bersalah membunuh lima anggota keluarga berketurunan China-Australia di Sydney, termasuklah dua orang kanak-kanak dalam satu kes mengerikan yang mengejutkan negara.

Robert Xie, 53 tahun, didakwa membunuh adik iparnya kelahiran China, Norman Lin, isteri Lin, Lily, anak-anak lelaki mereka Henry, 12 dan Terry, 9 tahun dan kakak Lily, Irene.

Mayat mereka ditemui di rumah mereka di barat laut Sydney pada Julai 2009.

Kes yang memakan masa lama itu menyaksikan Xie – pakar bedah telinga, hidung dan kerongkong di China sebelum berpindah ke Australia pada tahun 2002 – berdepan empat perbicaraan bunuh.

Dua telah digugurkan, satu perbicaraan berakhir dengan tanpa keputusan juri dan perbicaraan semula paling terbaru memakan masa enam bulan.

Xie didapati bersalah oleh majoriti juri Mahkamah Tinggi New South Wales dan akan dijatuhi hukuman pada 10 Februari, seorang pegawai mahkamah memberitahu AFP.

“Saya tidak membunuh keluarga Lin, saya tidak bersalah,” Xie memberitahu mahkamah selepas keputusan diumumkan, lapor Sydney Morning Herald.

Isterinya yang menangis teresak-esak berkata “dia tidak bersalah,” tambah laporan akhbar itu lagi.

Pihak pendakwa mengatakan Xie didorong oleh perasaan marah terhadap keluarga itu.

Xie, isterinya, Kathy Lin, kakak Norman yang menemukan mayat mereka dan menghubungi pihak polis, yang membawa kepada penyiasatan besar-besaran di Australia dan China. Akhirnya dia ditangkap pada tahun 2011.

Tiga orang dewasa dibunuh di katil mereka, dengan muka mereka ‘dibelasah dengan menggunakan objek seperti tukul’ dengan tali diikat pada objek itu. Kanak-kanak telah dibunuh di bilik mereka, dengan seorang telah dipukul 18 kali. – AFP