Bekas pegawai di Hospital Umum Sarawak hadapi 16 tuduhan rasuah

Bekas pegawai di Hospital Umum Sarawak hadapi 16 tuduhan rasuah

KUCHING, 10 Okt – Seorang bekas penolong pegawai keselamatan Hospital Umum Sarawak didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas 16 pertuduhan rasuah melibatkan RM201,351.

Mohamad Don Adi Morshidi, 34, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu — melakukan kutipan bulanan antara RM4,748 hingga RM21,000 daripada kontraktor kawalan keselamatan di hospital iaitu Kassim Rosli — setiap bulan mulai Januari hingga Disember 2014.

Bayaran itu didakwa sebagai dorongan untuk mengesahkan bahawa semua pengawal keselamatan di hospital hadir bertugas setiap hari seperti yang ditetapkan dalam terma dan syarat kontrak.

Pembayaran didakwa didepositkan di sebuah bank dan kemudian ditunaikan oleh dua wanita.

Apabila ditanya jika dia mempunyai apa-apa untuk dipohon kepada mahkamah, Mohamad Don Adi meminta sebutan kali kedua kesnya diadakan pada Mei tahun depan kerana dia telah dipindahkan ke Pahang dan memerlukan masa untuk mengumpul wang bagi melantik peguam bela.

Tertuduh juga meminta mahkamah mempertimbangkan fakta bahawa selama ini dia telah memberi kerjasama kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Kennedy menetapkan 14, 16, dan 17 Nov tahun ini sebagai tarikh bicara, sambil menegaskan mahkamah perlu menyelesaikan kes-kes rasuah dalam tempoh enam bulan.

Beliau menetapkan 11 November bagi pengurusan awal perbicaraan tertuduh dan menasihatinya untuk melantik peguam bela atau mendapatkan bantuan daripada Biro Bantuan Guaman.

Beliau membenarkan Mohamad Don Adi diikat jamin RM16,000 dengan RM6,000 daripadanya perlu dibayar secara tunai dan bakinya dengan dua penjamin yang mempunyai pendapatan tetap bulanan.

Pendakwaan dikendalikan Mohd Ikhwan Mohd Ibrahim daripada SPRM. – Bernama