Bekas pegawai kerajaan China bunuh diri

Bekas pegawai kerajaan China bunuh diri

BEIJING, 28 Dis – Seorang bekas pegawai kanan di China yang mengetuai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengawal tempat pembuangan sampah yang runtuh pada minggu lalu dengan kehilangan lebih 70 orang telah membunuh diri, kata polis kelmarin.

Kerajaan masih belum menyalahkan sesiapa atas bencana yang berlaku di selatan bandar Shenzhen pada 20 Disember, apabila timbunan melimpah dan menimbus 33 buah bangunan di sebuah taman perindustrian, tetapi pada Sabtu ia menyalahkan pencabulan peraturan keselamatan pembinaan.

Dua orang telah disahkan mati sementara lebih 70 orang hilang.

Bekas pengarah Biro Pengurusan Bandar Daerah Baru Guangming, seorang lelaki dengan nama keluarga Xu, telah membunuh diri, kata polis daerah di laman mikroblog, menambah polis telah menerima satu laporan mengatakan seorang individu telah terjatuh daripada sebuah bangunan lewat semalam.

Polis tidak mengkaitkan kematian Xu dengan bencana. Kerajaan telah mengingatkan sebelumnya bahawa mereka yang bertanggungjawab akan “dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.”

Kejadian tanah runtuh yang menimbus berpuluh bangunan dan menyebabkan sejumlah penduduk hilang di bandar selatan, Shenzen, minggu lalu. – Reuters
Kejadian tanah runtuh yang menimbus berpuluh bangunan dan menyebabkan sejumlah penduduk hilang di bandar selatan, Shenzen, minggu lalu. – Reuters

Akhbar Southern Metropolis Daily mengenal pasti Xu sebagai Xu Yuanan.

Masih tidak jelas bila Xu meletak jawatan sebagai pengarah Biro Pengurusan Bandar Daerah Baru tetapi kerajaan daerah melaporkan di laman webnya bahawa orang lain telahpun dilantik ketua agensi pada bulan Julai.

Bencana itu merupakan kemalangan terbaru yang menimbulkan persoalan mengenai standard keselamatan perindustrian China dan kekurangan wawasan berhubung pertumbuhan pesat bertahun-tahun lamanya.

Pada minggu lalu, seorang eksekutif dengan agensi pengawasan yang dilantik oleh kerajaan berkata ia telah meminta Shenzhen Yixianglong, firma yang mengurus pembuangan sampah, supaya berhenti bekerja empat hari sebelum bencana, memetik kebimbangan keselamatan. – Reuters