Bekas pelajar Maktab Perguruan bertemu kembali

Bekas pelajar Maktab Perguruan bertemu kembali

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Sekumpulan bekas pelajar Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) sesi 1994/1997, baru-baru ini, telah mengadakan perjumpaan semula pada majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di kediaman salah seorang bekas pelajar, Haji Mohd Rais bin Haji Duraman, di Kampung Mata-Mata Gadong, di sini.

Perjumpaan semula buat kali kedua ini dianjurkan oleh salah seorang bekas pelajar MPUSB, Haji Hirwan bin Haji Malek dengan kerjasama ahli pengambilan MPSUB 1994/1997 yang terdiri daripada pegawai-pegawai pelajaran agama terlatih dari Jabatan Pengajian Islam yang telah berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia selama 19 tahun.

Sejurus selepas majlis khatam Al-Quran diadakan, acara diteruskan dengan bacaan tahlil bagi keluarga dan guru-guru serta sahabat handai yang telah kembali ke rahmatullah.

Majlis kemudian diselajurkan dengan majlis penyampaian derma kilat kepada salah seorang ahli yang kehilangan anak baru-baru ini, diikuti dengan majlis berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah.

Majlis itu antara lain bertujuan untuk meraih pahala pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dan seterusnya menjadikan pertemuan pengambilan MPSUB 1994/1997 sebagai satu acara tahunan serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada.

Sesi bergambar ramai bekas pelajar Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPSUB) sesi 1994/1997.
Sesi bergambar ramai bekas pelajar Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPSUB) sesi 1994/1997.