Bekas pelajar Maktab SOAS bersua semula selepas 40 tahun

Bekas pelajar Maktab SOAS bersua semula selepas 40 tahun

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh SOAS 77

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Setelah meninggalkan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) kira-kira 40 tahun yang lalu, baru-baru ini, pelajar kelas 4A dan 5A sesi 76-77 dipertemukan semula di majlis malam gala kelas itu di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah mantan pengetua maktab berkenaan pada tahun 1976, Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud dan Awang Mohammad Berkley Stewart, serta beberapa orang guru yang pernah mengajar kedua-dua kelas yang terlibat ketika itu.

Majlis diisi dengan penyampaian cenderahati kepada bekas-bekas guru dan disemarakkan dengan pelbagai persembahan dan tayangan video yang mengimbas semula kenangan semasa belajar bersama-sama di dalam kelas 4A dan 5A pada tahun 1976 dan 1977.

Menurut penganjur, usaha menghimpunkan bekas pelajar ini dilakukan oleh beberapa orang bekas pelajar yang diketuai oleh Haji Ibrahim bin Haji Damit dan Haji Abdullah bin Haji Halim.

Pada April lalu, satu pertemuan semula secara kecil-kecilan telah diadakan dengan melibatkan 29 orang bekas pelajar bagi membincangkan mengenai persiapan majlis malam gala berkenaan.

Bekas-bekas pelajar Maktab SOAS bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan bekas guru-guru mereka.
Bekas-bekas pelajar Maktab SOAS bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan bekas guru-guru mereka.

Melalui pertemuan semula ini, ia dihasratkan dapat menjejak semula teman seperjuangan yang sudah lama tidak ditemui dan secara langsung menjadi wadah mengeratkan silaturahim dan persahabatan dalam kalangan bekas pelajar yang terlibat.

Antara aktiviti persiapan yang dibuat bagi menjayakan malam gala ini adalah lawatan 45 orang bekas pelajar berkenaan ke Maktab SOAS dan majlis tahlil yang diselaraskan dengan sembahyang fardu Asar berjemaah di surau maktab berkenaan pada 24 April yang lalu.

Di majlis malam gala itu juga berlangsung pengagihan surah Yasin yang dicetak khas bagi majlis itu dan diwakafkan ke surau Maktab SOAS serta juga dihadiahkan kepada ahli keluarga bekas-bekas pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA