Bekas pelajar SMALHB jalin ukhuwah

Bekas pelajar SMALHB jalin ukhuwah

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Rancangan dan hasrat untuk mengadakan acara pertemuan semula pelajar-pelajar kohort Merdeka 1984 Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) terlaksana dalam Majlis ‘Jalinan Muhibah SMALHB 1984’ yang berlangsung di The Rizqun Coffee House, Gadong, di sini, kelmarin.

Acara yang julung kali diadakan ini berjaya mengumpulkan seramai 63 orang bekas pelajar dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi jalinan muhibah dan silaturahim yang sedia ada antara pelajar-pelajar kohort SMALHB 1984.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meraikan Sambutan Jubli Emas SMALHB dan Sambutan Jubli Perak Mahad Islam Brunei kerana pelajar-pelajar kohort SMALHB 1984 bukan hanya pernah menjadi pelajar SMALHB malahan pernah menuntut di Mahad Islam Brunei.

Pelajar-pelajar kohort SMALHB 1984 juga merupakan lepasan pertama Mahad Islam Brunei tahun 1990 yang telah banyak mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik daripada peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Perubatan hingga Doktor Falsafah Ph.D.

Kecemerlangan yang dicapai atas semangat kemerdekaan 1984 telah membolehkan para pelajar kohort SMALHB 1984 memegang beberapa jawatan penting sama ada dalam sektor kerajaan atau sektor swasta.

Gambar ramai pertemuan jalinan muhibah bekas pelajar SMALHB.
Gambar ramai pertemuan jalinan muhibah bekas pelajar SMALHB.

Oleh itu, jalinan muhibah yang berasaskan semangat kemerdekaan 1984 ini diharap akan menanamkan semangat dan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar kohort SMALHB 1984 untuk terus berbakti kepada negara, bangsa dan agama khususnya dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Pengisian acara yang diaturkan antaranya adalah bacaan doa kesyukuran, ucapan wakil pelajar kohort SMALHB 1984 dan ramah mesra dalam kalangan mereka.

Walaupun pengisian acara agak ringkas, namun ia dapat memberi ruang kepada para pelajar kohort SMALHB 1984 untuk menyatakan rasa kesyukuran dapat bertemu semula dengan rakan-rakan satu sekolah, satu asrama dan satu bas.

Pelbagai kenangan manis, kejayaan dan kecemerlangan dalam akademik, sosial dan sukan yang pernah dicapai oleh para pelajar kohort SMALHB 1984 telah dapat diimbau kembali dengan suasana kegembiraan dan keharmonian.

Para pelajar yang hadir amat gembira dengan acara pertemuan semula ini dan berharap dapat diadakan lagi pada masa akan datang serta boleh melibatkan semua pelajar kohort SMALHB 1984.

ARTIKEL YANG SAMA