Bekas pelajar SMALHB, SUAMPRIPAD bertemu semula

Bekas pelajar SMALHB, SUAMPRIPAD bertemu semula

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Mengimbau kembali kenangan persahabatan lebih 35 tahun yang lalu, bekas pelajar pengambilan 1981 Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) bersatu semula dalam satu perhimpunan besar yang berlangsung di Suite Presiden Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini, petang ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, yang juga bekas pengetua SMALHB pada tahun 1981.

Majlis tersebut diadakan dengan tujuan untuk meraikan persahabatan akrab bekas para pelajar aliran Sains pengambilan berkenaan dan merapatkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada serta memberi peluang kerjasama dan mengukuhkan jaringan bagi sebarang inisiatif profesional bagi bekas-bekas pelajar.

Salah seorang bekas pelajar yang menganjurkan majlis berkenaan, Dayang Noor Zuhairah binti Dato Seri Setia Haji Abdul Hamid berkata; “Usaha mengadakan majlis meraikan 35 tahun persahabatan ini juga telah membukakan ruang yang sangat baik untuk kami rakan-rakan lama berkumpul dalam suasana kerjasama yang sangat erat dan positif.”

Gambar ramai bekas pelajar pengambilan 1981 SMALHB dan SUAMPRIPAD pada majlis perhimpunan semula di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Gambar ramai bekas pelajar pengambilan 1981 SMALHB dan SUAMPRIPAD pada majlis perhimpunan semula di Hotel Antarabangsa Rizqun.

Selain ucapan bekas pelajar serta persembahan oleh bekas-bekas pelajar majlis turut menyaksikan pelbagai pameran nostalgik dalam tempoh 1981 hingga 1988.

Antara yang dikongsikan adalah keratan akhbar Pelita Brunei yang memaparkan senarai nama-nama pelajar yang terpilih ke sekolah Arab, buku autograf pelajar tahun 80-an dan gambar-gambar lama.

Kumpulan bekas pelajar SMALHB dan SUAMPRIPAD pengambilan 1981 yang mengadakan majlis pada petang ini merupakan para pelajar pengambilan aliran sains/Inggeris yang pertama bagi sekolah-sekolah berkenaan.

Hampir kesemua bekas pelajar SMALHB dan SUAMP RIPAD ini melalui kehidupan berasrama untuk beberapa tempoh semasa bersekolah. Ia telah memberi kesan kesefahaman, keakraban dan persaudaraan yang sangat baik meskipun setelah beberapa dekad berlalu.

Haji Omar bin Haji Abdul Rahman mengimbas, “Berbeza dari sebahagian sekolah-sekolah, pengambilan ke sekolah seperti SMALHB dan SUAMPRIPAD merupakan satu makna bahawa kumpulan pelajar bagi tahun berkenaan akan meluangkan masa bersama sebagai satu kelas/pengambilan tanpa dipisah pada tahun-tahun berikutnya.

“Dengan keserasian yang kami rasakan membesar bersama, keunikan persahabatan antara kami sangat ketara dan dihargai.”

Kini, bekas pelajar sekolah-sekolah berkenaan memegang jawatan-jawatan tertentu di pelbagai peringkat di sektor kerajaan (pendidikan, perubatan, perhubungan awam, penyiaran, kewangan, teknikal, keselamatan dan pertahanan) dan swasta (minyak dan gas, perbankan, pendidikan, kejuruteraan, pelancongan/pengembaraan) serta ada juga yang menceburi dunia perniagaan.

Antara mantan pendidik bagi bekas para pelajar berkenaan yang hadir termasuk  Hajah Norzainah binti Haji Ering (penerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru 2010); Haji Abdul Rahim bin Haji Gantang;  Haji Suhaibon bin Othman; Pengiran Haji Duraman bin Pengiran Damit; Pengiran Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Damit; Haji Mohd Zain bin Haji Muntol; Haji Hassan bin Taha; Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin; Haji Abdul Rahman Mahmuda; Haji Umar bin Haji Murad; Yusof Sani; Hajah Mariam binti Mohd Daud; Hajah Salbiah binti Haji Dagang; dan Hajah Masni binti Haji Abdi Manaf.

ARTIKEL YANG SAMA