Bekas Pemerintah ABDB kembali ke rahmatullah

Bekas Pemerintah ABDB kembali ke rahmatullah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Julai – Bekas Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman bin Haji Damit telah kembali ke rahmatullah hari ini dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sugan, Bukit Bendera, Pekan Tutong.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Hajah Noraini binti Haji Mohd Ja’afar dan lima orang anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1941 di Kampung Keriam, Tutong, menerima pendidikan dan latihan di Sekolah Melayu Seria, Maktab Anthony Abell Seria; Maktab Tentera Persekutuan Tanah Melayu; Overseas Joint Warfare, Old Sarum England; Royal College of Defence Studies, London.

Allahyarham telah mula berkhidmat sebagai anggota Askar Melayu Brunei (kini ABDB) pada tahun 26 Disember 1960, dan pernah memegang jawatan sebagai Akauntan Rejimen, Force Personnel Officer, Pengarah Keanggotaan dan Pentadbiran, Timbalan Pesuruhjaya ABDB, Komander Pasukan Petugas dan Pemerintah ABDB pada tahun 1990-1994.

Allahyarham Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman.
Allahyarham Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman.

Allahyarham juga pernah men-jadi Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir di Kaherah dari 7 September 1995 hingga 3 Jun 1998. Allahyarham telah dikurniakan gelaran Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Setia oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 3 Oktober 1974.

Allahyraham juga pernah diberikan kurnia dan bintang kebesaran seperti Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang (DPKT) Darjah Pertama; Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia (SPMB) Darjah Pertama: dan banyak lagi.

Atas jasa dan bakti beliau, Allahyarham juga dikurniakan bintang dan pingat dari negara luar termasuklah menerima Panglima Setia Mahkota Malaysia (Tan Sri) pada tahun 1995; Panglima Gagah Angkatan Tentera Malaysia (Malaysia) pada tahun 1994; Knight Grand Cross of The Most Exalted Order of The White Elephant (Thailand) pada tahun 1991; Knight Grand Cross of The Most Noble Order of The Crown of Thailand, 1987; Bintang Yudha Dharma Utama (Indonesia) pada tahun 1993; Darjah Utama Bakti Cemerlang Singapura (Tentera) di tahun 1994, Legion of Honour (Degree Commander) di Filipina pada tahun 1991; dan Order of National Security Merit Tong-ill di Korea pada tahun 1992.

ARTIKEL YANG SAMA