Bekas pemerintah Qatar patah kaki semasa bercuti

Bekas pemerintah Qatar patah kaki semasa bercuti

DOHA, 29 Dis – Bekas emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani mengalami patah kaki semasa bercuti, menurut pegawai kerajaan dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu mengesahkan yang bekas pemerintah itu, dikenali sebagai ‘Father Emir’ di Qatar, telah diterbangkan ke Switzerland bagi rawatan kecemasan berikutan insiden pada hujung minggu.

Menurut kenyataan itu lagi, Sheikh Hamad pada 26 Disember telah diterbangkan ke Zurich, Switzerland bagi mendapatkan rawatan kecemasan selepas patah kaki semasa sedang bercuti.

“Berikutan pembedahan yang berjaya, Father Emir pada masa ini berada di Zurich sedang pulih dan menjalani rawatan fisioterapi,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerabat diraja dikatakan telah bercuti di pusat peranginan Maghribi di pergunungan Atlas, namun ia masih tidak jelas punca insiden tersebut.

Kelmarin, dilaporkan sebanyak lapan buah pesawat milik kerabat diraja Qatar telah mendarat di Switzerland pada hujung minggu, disyaki berkaitan satu kecemasan kesihatan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Switzerland mengesahkan bahawa jumlah pesawat dari armada kerabat Qatar telah membuat pendaratan tidak berjadual di lapangan terbang Zurich-Kloten pada 25 hingga 26 Disember.

Jurucakap kementerian luar negeri Switzerland memberitahu AFP pada Isnin yang anggota kerabat diraja Qatar menginap di negara itu, namun tidak memberi butiran lanjut.

Thani, yang meraikan hari ulang tahunnya ke-64 pada 1 Januari, memerintah Qatar dari tahun 1995 hingga 2013, telah menyaksikan transformasinya menjadi salah sebuah negara terkaya di dunia.

Baginda turun takhta pada Jun 2013 apabila mengumumkan dalam ucapan televisyen yang baginda akan menyerahkan tampuk pimpinan kepada anak lelakinya yang pada masa ini pemerintah kerajaan, Tamim bin Hamad al-Thani. – AFP