Bekas pengurus Chelsea bertembung

Bekas pengurus Chelsea bertembung

LONDON, 20 April (AFP) – Jose Mourinho akan menguruskan England menentang pasukan Rest of the World bimbingan pengurus Leicester City Claudio Ranieri pada perlawanan amal di Old Trafford Jun nanti, penganjur mengumumkan.

Kedua-dua bekas pengurus Chelsea itu akan berdepan dalam acara Soccer Aid keenam pada 5 Jun untuk mengumpul wang kebajikan kanak-kanak di Unicef.

Mourinho yang dipecat oleh Chelsea Disember lepas, akan dibantu oleh pengurus Sunderland Sam Allardyce dan bintang pop British serta pengasas bersama Soccer Aid Robbie Williams.

“Saya mahu menjadi orang pertama memenangi trofi Soccer Aid untuk pasukan, England dan Rest of the World,” kata Mourinho, yang mengetuai Rest of the World dengan kemenangan 4-2 dalam perlawanan pada 2014.

Jose Mourinho semasa menyaksikan pertarungan tinju heavyweight IBF antara Anthony Joshua dan Charles Martin di O2 Arena, London kelmarin. – AP
Jose Mourinho semasa menyaksikan pertarungan tinju heavyweight IBF antara Anthony Joshua dan Charles Martin di O2 Arena, London kelmarin. – AP

“Sam dan saya akan membuat perkongsian yang sangat baik dan pasti ia akan menjadi satu perasaan yang hebat untuk Claudio yang akan tewas! Saya berharap pihak penganjur boleh membantu saya sekarang dengan pasport Inggeris!”

Ranieri bersama Leicester yang berada di landasan untuk menjulang mahkota Liga Perdana Inggeris dalam satu kenyataan akhbar berkata: “Soccer Aid ialah acara yang hebat, mengumpul wang untuk kebajikan kanak-kanak di Unicef.

“Bagi ulang tahun ke-10 Soccer Aid, adalah satu penghormatan besar apabila Robbie Williams meminta saya untuk menguruskan Rest of the World XI dan saya tidak sabar untuk membantu mereka mempertahankan kejuaraan.”