Bekas penyiasat mohon suaka di Australia

Bekas penyiasat mohon suaka di Australia

SYDNEY, 11 Dis (Reuters) – Bekas ketua penyiasat polis Thailand ke atas kes pemerdagangan manusia berkata semalam beliau sedang berusaha mendapatkan suaka politik di Australia dan bimbang keselamatan jiwanya jika pulang ke tanah air.

Bekas Mejar Jeneral Paween Pongsirin tiba di Melbourne beberapa hari lepas dengan menggunakan visa pelancong dan berkata merancang mendapatkan perlindungan politik, menurut Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

“Pastinya ada tempat yang selamat untuk saya,” katanya dalam temu ramah dengan ABC. “Saya datang ke sini kerana Australia adalah tempat yang selamat.”

Paween meletak jawatan pada November lepas, sambil berkata arahan untuk memindahkannya ke selatan Thailand akan mendedahkannya dengan lebih banyak tindak balas oleh anggota sindiket pemerdagangan manusia yang masih bebas.

Ketua Polis Negara Jakthip Chaijinda berkata pada masa itu Paween boleh meminta perlindungan tetapi memilih untuk meletak jawatan.

“Kami mengeluarkan 153 waran di seluruh kawasan dan ia termasuk para pegawai kerajaan…Saya hanya menjalankan tugas tanpa memikirkan bahaya atau masalah, tetapi sekarang saya sedar betapa berbahayanya,” kata Paween.

Polis Thai akan menyiasat kes Paween tetapi tidak dimaklumkan mengenai sebarang ancaman ke atas beliau, kata jurucakap polis Thai, Dejnarong Suthicharnbancha.

“Paween sepatutnya menyalurkan aduan kepada pihak atasannya bagi penyiasatan,” Dejnarong memberitahu Reuters.

Thailand sudah mendakwa 88 orang suspek yang terbabit dalam pemerdagangan manusia sejak membuka siasatan seluruh negara ke atas geng tersebut selepas penemuan pada Mei 30 mayat dari kubur besar berhampiran sempadan Thailand-Malaysia, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA