Bekas peserta SSEAYP ceriakan anak yatim

Bekas peserta SSEAYP ceriakan anak yatim

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Seramai 94 orang murid dari tiga buah sekolah rendah di Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan derma secara berasingan, sempena menyambut bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Mereka terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga susah yang belajar di Sekolah Rendah Delima Satu, Sekolah Rendah Anggerek Desa dan Sekolah Rendah Pulaie, di Berakas.

Sumbangan berupa makanan asas, makanan ringan, minuman dan wang tunai, itu dihulurkan oleh kumpulan bekas peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) 1987, orang-orang perseorangan serta keluarga masing-masing.

Menurut kenyataan penganjur, sumbangan pertama diserahkan kepada 67 orang murid yang belajar di SR Delima Satu, kelmarin.

Turut serta dalam majlis penyerahan sumbangan ialah Pemangku Guru Besar SR Delima Satu, Hajah Shamsiah binti Haji Sabtu dan Awang Mohd Noor bin Abdullah, yang merupakan bekas Ketua Kebangsaan SSEAYP 1987.

Bekas peserta SSEAYP 1987 bergambar ramai bersama anak-anak yatim dan pelajar-pelajar dari kurang berkemampuan yang menerima sumbangan mereka.
Bekas peserta SSEAYP 1987 bergambar ramai bersama anak-anak yatim dan pelajar-pelajar dari kurang berkemampuan yang menerima sumbangan mereka.

Hadir sama ialah beberapa orang bekas peserta rancangan tersebut dan para sukarelawan serta guru-guru sekolah berkenaan.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada projek amal bekas peserta SSEAYP dalam memenuhi tanggungjawab kemasyarakatan, serta mencerminkan rasa prihatin dalam memeduli mereka yang kurang bernasib baik di negara ini.

Sumbangan yang sama akan diserahkan kepada 19 orang murid di SR Anggerek Desa dan lapan orang murid di SR Pulaie pada tarikh yang berasingan.

Rancangan SSEAYP menemukan para belia dari seluruh negara ASEAN, mengongsikan pengalaman dan kegiatan di atas Kapal Nippon Maru bersama dengan belia-belia daripada negara-negara anggota ASEAN dan Jepun. Negara Brunei Darussalam menyertai rancangan tersebut sejak tahun 1985.

ARTIKEL YANG SAMA