Bekas PM Australia minat jawatan PBB

Bekas PM Australia minat jawatan PBB

SYDNEY, 18 Julai – Bekas perdana menteri Australia Kevin Rudd hari ini mendedahkan beliau mahu menggantikan Ban Ki-moon sebagai setiausaha agung PBB seterusnya, meminta Canberra untuk mengendors pencalonannya.

Sejumlah calon sudah mengisytiharkan minat menjadi diplomat tertinggi dunia, termasuk ketua UNESCO Irina Bokova dari Bulgaria dan bekas perdana menteri New Zealand dan ketua Program Pembangunan PBB Helen Clark.

Rudd yang fasih bertutur Mandarin kini menetap di New York sebagai ketua institute dasar Persatuan Asia, berkhidmat sebagai perdana menteri Buruh daripada 2007 hingga 2010 dan sekali lagi dalam 2013.

Menteri Luar Julie Bishop hari ini mengatakan beliau sudah membuat permintaan rasmi bagi sokongan kerajaan, dengan kabinet dijangka mempertimbangkannya.

“Kevin Rudd meminta agar kerajaan Australia mencalonkannya dan seperti yang perdana menteri katakan dalam beberapa majlis, ia akan menjadi isu kabinet,” dia memberitahu Sky News. “Saya pastinya akan mengemukakan perkara itu.”

Calon-calon mestilah dicalonkan oleh kerajaan mereka, dengan Ban dijadualkan berundur pada 1 Januari.

Selama berdekad-dekad, pilihan ketua PBB terletak di tangan Majlis Keselamatan dan lima anggota tetapnya—Britain, Perancis, China, Rusia dan Amerika Syarikat—dalam satu proses yang dirahsiakan.

Namun Perhimpunan Agung tahun lalu mengundi untuk meminda prose situ, meminta calon-calon menghantar surat permohonan rasmi, membentangkan maklumat ringkas diri mereka (resume) dan muncul pada pendengaran.

Keputusan muktamad masih lagi terletak di tangan Majlis Keselamatan, namun keterbukaan baru ini boleh memberi tekanan kepada kuasa-kuasa besar untuk memilih calon yang mempunyai tarikan meluas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA