Bekas Presiden BJFA terima anugerah Spring Decoration 2016

Bekas Presiden BJFA terima anugerah Spring Decoration 2016

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Kerajaan Jepun, pada 29 April yang lalu, telah mengumumkan penerima anugerah Spring Decoration 2016 dan antara penerimanya ialah Hiroshi Sawada, iaitu bekas Presiden Persatuan Bahasa Jepun Brunei Darussalam dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Brunei-Jepun (BJFA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, di sini, hari ini, Hiroshi Sawada menerima darjah kebesaran Order of the Rising Sun, Gold dan Silver Rays sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pentingnya dalam mempromosikan hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun, begitu juga meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat Brunei mengenai Jepun.

Sawada merupakan rakyat Jepun pertama yang menerima penghormatan ini yang mempunyai kaitan dengan Brunei Darussalam.

Beliau telah tinggal di Brunei Darussalam lebih daripada 30 tahun, sejak kali pertama tiba di negara ini sebagai pengurus projek bagi Mitsubishi Corporation dalam usaha samanya bersama Brunei untuk menubuhkan McFarm di Kampung Tungku, Gadong, yang mengusahakan pembiakan ternakan.

Menurut kenyataan itu lagi, petang esok, Sawada dan isterinya, Shigeko Sawada akan menghadiri malis penganugerahan berkenaan yang akan disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida dan akan mengadap Maharaja Akihito di Imperial Palace.

ARTIKEL YANG SAMA