Bekas presiden DFB digantung setahun

Bekas presiden DFB digantung setahun

GENEVA, 26 Julai – Jawatankuasa etika FIFA semalam menggantung bekas presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) Wolfgang Niersbach selama setahun kerana salah laku dalam kejayaan bidaan Piala Dunia negara itu pada 2006.

“Niersbech digantung selama setahun dari semua aktiviti yang berhubung kait bola sepak,” kata kenyataan dari mahkamah dalaman FIFA memetik bahawa pegawai Jerman itu “gagal untuk melaporkan pencarian mengenai kemungkinan salah laku membabitkan penganugerahan Piala Dunia FIFA 2006”.

Niersbach berkhidmat sebagai naib presiden jawatan kuasa penganjuran Piala Dunia 2006. Dia meletak jawatan daripada persekutuan Jerman November lalu ketika DFB didakwa menggunakan dana bernilai 10 juta Swiss franc (AS$8 juta, menurut kadar pertukaran ketika itu) pada 2000 untuk membeli hak bagi penganjuran perlawanan itu.

Dia yang berusia 65 tahun berkata akan mempertimbangkan sama ada untuk merayu keputusan itu. “Keputusan ini menjejaskan saya,” Niersbacj memberitahu SID, anak syarikat AFP. “Saya rasa hukuman ini tidak sesuai dan keterlaluan. Saya akan membiarkan peguam saya menasihatkan saya sama ada saya akan membuat rayuan atau tidak.

“Selepas pendengaran kes di Zurich, saya yakin jawatankuasa etika tidak akan mengenakan sekatan. Saya sekali lagi mengakui dan kesal dengan kesilapan saya.”

Niersbach digantung selama setahun daripada semua aktiviti bola sepak kerana salah laku dalam kejayaan bidaan Piala Dunia Jerman 2006. – AFP
Niersbach digantung selama setahun daripada semua aktiviti bola sepak kerana salah laku dalam kejayaan bidaan Piala Dunia Jerman 2006. – AFP

Niersbach menegaskan meletak jawatannya seharusnya hukuman yang sudah mencukupi kerana dia secara tidak langsung didakwa membayar rasuah atau secara kewangan mendapatkan manfaat daripada rasuah itu.

Pendakwa FIFA meminta hukuman dua tahun dengan hujah bahawa Niersbach seharusnya bercakap lebih awal apabila dia mengetahui kemungkinan salah laku.

Penggantungan jawatankuasa etika akan memaksa penyingkirannya segera daripada jawatan yang dipegangnya sekarang dalam Majlis FIFA dan jawatankuasa eksekutif UEFA.

FIFA memulakan siasatan pada 22 Mac lalu dengan menyasarkan enam orang termasuk Niersbach dan legenda bola sepak Jerman dan ketua jawatankuasa penganjuran Piala Dunia Franz Beckenbauer di atas peranan mereka dalam proses bidaan. – AFP