Bekas presiden ditahan berhubung pengintipan

Bekas presiden ditahan berhubung pengintipan

BANDAR PANAMA, 22 Dis (Reuters) – Mahkamah tertinggi Panama semalam mengarahkan penahanan bekas Presiden Ricardo Martinelli yang didakwa telah menggunakan wang awam untuk mengintip lebih daripada 150 orang, salah satu daripada beberapa tuduhan yang dihadapi beliau.

Selepas berdebat lebih daripada empat jam, hakim Mahkamah Tinggi mengundi untuk menahan jutawan pasar raya yang memerintah negara Amerika Tengah dari tahun 2009 hingga 2014.

Martinelli memberi respon kepada keputusan tersebut di laman Twitter beliau lewat semalam, berkata ia adalah pusingan pertama perbicaraan politik.

Martinelli, yang menyelia kerja-kerja awam dan pertumbuhan ekonomi paling pesat di Latin Amerika dalam beberapa tahun ini, melarikan diri dari Panama pada Januari dan dipercayai menetap di Miami.

Meskipun popular pada awal, pentadbirannya dibelenggu dakwaan rasuah.

Beliau kini menghadapi beberapa siasatan berlainan termasuk penyalahgunaan wang awam, jenayah kewangan, mengambil rasuah dan memberikan pengampunan tidak rasmi. Beliau dilucutkan dari kekebalan yang dinikmatinya sebagai pemimpin parti politik dalam beberapa kes.

Dalam kes pengintipan, pendakwa berkata Martinelli, 63, menggunakan wang pembayar cukai dan pekerja kerajaan untuk mendengar kepada panggilan, membaca mesej dan mengekori aktivis, ahli politik, anggota kesatuan, peguam, doktor dan kumpulan awam lain.

Dua daripada bekas ketua keselamatan Martinelli telah pun diberkas dalam kes itu dan sedang menunggu perbicaraan.

Dalam sepucuk surat yang disiar di Twitter pada bulan ini, Martinelli berkata tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau adalah sebahagian daripada kempen balas dendam yang dipelopori oleh Presiden Juan Carlos Varela.