Bekas utusan Kemboja ke Seoul didakwa ‘makan wang’ pekerja penghijrah

Bekas utusan Kemboja ke Seoul didakwa ‘makan wang’ pekerja penghijrah

PHNOM PENH, 8 April (dpa) – Bekas duta Kemboja ke Korea Selatan telah didakwa selepas dipercayai mencuri wang para pekerja penghijrah yang hendak dikirim pulang, lapor berita hari ini.

Suth Dina didakwa atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas satu siasatan mendapati dia telah menggelapkan wang tiga juta dolar, lapor Cambodia Daily.

Dia dipercayai mengeksploitasi ribuan pekerja penghijrah Kemboja yang hendak bekerja dalam sektor pertanian Korea Selatan setiap tahun, katanya.

Suth Dina dipercayai menuntut wang sogokan untuk membantu para pekerja menghantar pulang pengiriman wang, kata Unit Anti-Rasuah Kemboja, menurut laporan berita. Duta itu juga dipercayai menyimpan bayaran pampasan yang dihasratkan untuk ahli keluarga pekerja yang meninggal dunia dan memakan duit yuran visa, kata Cambodia Daily.

Pengerusi Unit Anti-Rasuah Kemboja (ACU), Om Yintieng ketika bercakap kepada sidang media mengenai Suth Dina. – Xinhua
Pengerusi Unit Anti-Rasuah Kemboja (ACU), Om Yintieng ketika bercakap kepada sidang media mengenai Suth Dina. – Xinhua

Dia juga gagal untuk membayar sewa ke atas kedutaan Kemboja di Seoul, menurut laporan itu.

Suth Dina, yang menafikan pertuduhan itu, telah didakwa oleh Mahkamah Perbandaran Phnom Penh pada kelmarin (Khamis) dan telah ditahan bagi menunggu dibicarakan. Jika didapati bersalah, dia berdepan kira-kira 10 tahun di penjara.

ARTIKEL YANG SAMA