Bekerjasama kesan jemaah masih hilang

Bekerjasama kesan jemaah masih hilang

MEKAH, 13 Sept (Bernama) – Tabung Haji (TH) kini mendapatkan kerjasama daripada pihak Muassasah Asia Tenggara dalam usaha mengesan lapan jemaah Malaysia yang hilang selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat lepas.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kerjasama itu meliputi usaha mendapatkan maklumat senarai nama mangsa yang dirawat di hospital Arab Saudi dan senarai nama mangsa yang terkorban.

Sebelum ini TH menerusi pasukan kebajikan, perubatan dan unit perondanya didapati agak sukar untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan mereka yang dirawat di hospital Arab Saudi itu.

“Terdapat mangsa-mangsa yang dirawat di lima hospital Arab Saudi (yang dibawa ke hospital selepas tragedi itu) yang tidak mempunyai pengenalan diri. Pihak hospital kini memfokuskan usaha merawat mangsa terbabit daripada menyiarkan nama mangsa.

“Kami kini bekerjasama dengan Muassasah Asia Tenggara untuk mendapatkan maklumat daripada pihak hospital. Tabung Haji tidak dibenarkan masuk ke hospital untuk membuat pengecaman terhadap mangsa-mangsa yang dirawat,” katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Muluk Ishak, 71, yang masih hilang ekoran kejadian kren tumbang di Masjidil Haram merupakan salah seorang daripada lapan jemaah haji yang masih dicari oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Tabung Haji di Mekah. –Bernama
Abdul Muluk Ishak, 71, yang masih hilang ekoran kejadian kren tumbang di Masjidil Haram merupakan salah seorang daripada lapan jemaah haji yang masih dicari oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Tabung Haji di Mekah. –Bernama

Dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat lepas, lebih 100 jemaah haji terkorban, manakala beratus lagi cedera.

Sepuluh jemaah haji Malaysia turut tercedera dalam tragedi berkenaan, manakala lapan lagi jemaah dilaporkan gagal dikesan sehingga hari ini.

Jemaah yang gagal dikesan sehingga kini ialah Abdul Habib Lahman, 68, (berasal dari Sik, Kedah); Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah); Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor); Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan); Abdul Muluk Ishak, 71, (Pantai Remis, Perak) dan Rusiah Suar, 56, (Sungkai, Perak).

Syed Saleh turut mengingatkan jemaah Malaysia agar sentiasa memakai tanda pengenalan diri, seperti tag dan gelang pengenalan diri terutamanya apabila berada di luar bangunan penginapan mereka.

Ditanya antara usaha lain yang dilakukan TH selain operasi mencari di sekitar kawasan masjid yang masih diteruskan itu, beliau berkata pihaknya juga turut bertindak menghubungi telefon bimbit mangsa yang hilang (berdasarkan rekod sedia ada), namun mereka gagal dihubungi sejak hari kejadian.

Beliau berkata pihaknya juga sedang memantau urusan mangsa terkorban di bilik-bilik jenazah di hospital pihak berkuasa Arab Saudi. Kebiasaannya pihak berkuasa Arab Saudi akan memaparkan gambar dan maklumat mangsa yang terkorban sebelum dikebumikan.

Selain itu beliau berkata pihak TH juga mengadakan sesi kaunseling dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang masih trauma selepas melihat tragedi itu.