Bela puma di dalam rumah

SEBAIK pintu rumah di kuak, seekor haiwan berlari-lari mendapatkan tuannya. Ia menggesel-geselkan badan pada kaki tanda minta dibelai. Binatang berkaki empat itu bukanlah anjing atau kucing sebaliknya merupakan seekor puma yang dibela oleh pasangan suami isteri, Aleksandr dan Maria Dmitriev.

Pasangan dari Penza, Rusia itu menjadikan puma yang diberi nama Messi berkenaan sebagai haiwan peliharaan kira-kira setahun yang lalu. Maria berkata, puma itu dilahirkan di Zoo Saransk pada 30 Oktober 2015 dan dinamakan Messi sempena nama pemain bola terkenal, Lionel Messi.

Pemberian nama itu dibuat bagi memberi penghormatan kepada Kejohanan Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di Moscow, Rusia.

“Dua lagi adik-beradiknya diberi nama Neymar dan Suarez. Selepas tiga bulan duduk di bawah jagaan ibunya, Messi dijual kepada sebuah zoo di Penza. Di situlah kami bertemu buat pertama kali pada Januari tahun lalu,” imbaunya. Cerita Maria, selepas tiga hari berlalu, dia dan suaminya memutuskan untuk meminta kebenaran pihak zoo agar menjual anak puma itu kepada mereka.

Penjagaan rapi

Hasrat pasangan itu disambut baik oleh pihak zoo yang sememangnya tidak keberatan untuk menjual Messi memandangkan anak puma itu sakit dan memerlukan penjagaan rapi.

Pasangan dari Penza, Rusia ini telah menjadikan puma sebagai haiwan peliharaan mereka kira-kira setahun yang lalu.

“Kami sangat gembira dan berita mengenai kesihatan Messi yang tidak begitu baik sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk menjaganya.”

“Setiap butiran kesihatan Messi diambil kira untuk memastikan ia selesa dan tidak tertekan di tempat baru kelak,” kata Sasha.

Sebagai persiapan, Aleksandr dan Maria berkerja keras sepanjang malam kira-kira seminggu sebelum Messi boleh dibawa pulang ke rumah dengan menyiapkan beberapa kelengkapan untuk haiwan berkenaan. Ia termasuklah meletakkan batang kayu dan pohon buluh di dalam rumah, melindungi dinding dengan pembalut khas, menukar tiang sebagai tempat mencakar, memasang cermin dan membeli permainan.

Menurut Maria, sewaktu mula-mula membela Messi, agak sukar untuk mengajar haiwan itu menggunakan pasir najis lagi-lagi ia kerap kencing kerana masalah sistisis kronik atau jangkitan kuman pada buah pinggang. “Kami mendapat jalan penyelesaian dengan membawanya bersiar-siar dua kali sehari setiap pagi dan petang. Messi juga akhirnya dapat membiasakan diri menggunakan pasir najis yang diletakkan di dalam tandas,” katanya.

Kelas latihan

Selain itu, cabaran membela Messi adalah untuk menguruskan penyakit rakitis atau otot muskular lemah yang dihidapinya. “Vitamin dan mineral diberikan sebagai makanan tambahan kepada Messi. Kami juga mendaftarkannya ke kelas latihan anjing supaya ia pandai mematuhi arahan,” ujar Maria.

Tidak seperti puma lain, Messi memiliki saiz badan 30 peratus lebih kecil berbanding puma jantan berusia dua tahun yang sebaya dengannya. Dengan saiz itu, Messi terdedah kepada ancaman daripada haiwan pemangsa lain jika dibiarkan hidup di habitat semula jadi. “Ia juga menderita penyakit jantung sejak kecil yang menyebabkan banyak zoo menolak untuk memeliharanya walaupun diletak dalam kurungan,” kata Maria.

Hal tersebut tidak menjadi penghalang untuk Maria dan suaminya memberikan sepenuh perhatian serta kasih sayang kepada Messi. Ia dimanjakan dengan diberi peluang bermain di kawasan lapang, mandi di dalam tab dan diberi diet daging mentah yang menjadi makanan kegemarannya. “Kami gembira kerana Messi dapat membiasakan diri dengan baik di rumah ini yang merupakan habitatnya. Ia juga bersahabat baik dengan kucing baka Sphynx yang kami pelihara,” ujar Maria. – Agensi