Belabau FFT menang tipis 3-2

Belabau FFT menang tipis 3-2

TUTONG, 8 Feb – Belabau FFT mencatat kemenangan berharga dalam saingan Kumpulan A, Liga Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015 apabila menewaskan Bang Dalam FC dengan jaringan tipis 3-2.

Bagaimanapun Bang Dalam FC yang terlebih awal mendahului perlawanan menerusi jaringan Muhd Norisham pada minit ke-10 tetapi kesilapan pemain Bang Dalam FC, Muhd Eruwan yang terjaring ke gawang sendiri lapan minit kemudian membolehkan kedudukan kembali seimbang, 1-1.

Pada kedudukan 1-1, Belabau FFT semakin bersemangat dan tidak dapat disangkal mereka layak mendahului separuh masa pertama dengan jaringan 3-1 apabila Muhd Julfadli sempat meledakkan dua jaringan pada tiga minit terakhir perlawanan iaitu pada minit ke-43 dan 45.

Walau bagaimanapun pada perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu, Bang Dalam FC tidak sesekali akan memberikan kemenangan mudah buat Belabau FFT apabila berjaya merapatkan kedudukan kepada 2-3 hanya tujuh minit selepas rehat hasil jaringan Muhd Hesyam.

Perlawanan menjadi semakin sengit dengan Bang Dalam FC terus berusaha mendapatkan gol penyamaan, manakala Belabau FFT terus bertahan dan melakukan serangan balas dalam usahanya mendapatkan satu gol lagi untuk memberinya sedikit ruang bernafas mendahului pada kedudukan lebih selesa.

Belabau FFT berpeluang cerah mara ke pusingan kedua Liga TDAFA DST 2015.
Belabau FFT berpeluang cerah mara ke pusingan kedua Liga TDAFA DST 2015.

Ternyata perlawanan tidak lagi menyaksikan sebarang jaringan dihasilkan sekaligus memberikan nafas lega buat Belabau FFT kerana berjaya meraih tiga mata bernilai untuk bekalnya mara ke pusingan kedua liga.

Liga TDAFA DST 2015 menyaksikan penyertaan 15 buah pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, A dan B, dengan lapan pasukan bersaing dalam Kumpulan A dan tujuh pasukan berentap dalam Kumpulan B. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA