Belacan Miri buah tangan ‘rebutan’ pelancong

Belacan Miri buah tangan ‘rebutan’ pelancong

MIRI, 2 Mei (Bernama) – Sebut sahaja nasi ‘Lalapan’ di Miri, pastinya keenakan sambal belacannya yang begitu unik dan istimewa tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang merasainya.

Lantaran itu, belacan Miri yang merupakan bahan utama untuk memberi keenakkan rasa sambal nasi Lalapan itu, menjadi buah tangan, ‘rebutan’ pelancong terutama dari Semenanjung untuk dibawa pulang.

Istimewanya belacan Miri terletak pada rasanya yang lebih enak, selain mempunyai aroma unik sebagaimana belacan Bintulu dan Kuching yang juga terkenal dalam kalangan pelancong.

Menurut pembuat belacan Suriani Abdullah, 45, penggunaan kaedah tradisional dengan menggunakan alu dan lesung dapat menghasilkan belacan yang lebih enak.

“Bagi menjimatkan masa dan tenaga, sudah ramai yang menggunakan mesin penghancur untuk memproses ramuan utamanya iaitu udang geragau atau ‘bubuk’, namun cara tradisional dapat menjadikannya lebih harum dan sedap,” katanya kepada Bernama.

Peniaga Tamu Kedayan Miri, Suriani Abdullah, 45, menunjukan antara produk yang boleh dihasilkan dari udang geragau iaitu belacan Kelmarin. – Bernama
Peniaga Tamu Kedayan Miri, Suriani Abdullah, 45, menunjukan antara produk yang boleh dihasilkan dari udang geragau iaitu belacan Kelmarin. – Bernama

Suriani, yang juga penjaja di Tamu Kedayan Miri, berkata kebanyakan belacan Miri adalah buatan tangan oleh suri-suri rumah dan tiada kilang memproses belacan di sekitar kawasan ini.

“Sekiranya dibuat dengan tangan, ia rasa lebih sedap dan aromanya lebih harum kerana kualiti udang geragau dipilih sendiri oleh pembuat-pembuatnya di rumah,” katanya.

Katanya belacan Miri boleh didapati dalam pelbagai bentuk dari seberat 100 gram, 150 gram, 200 gram dan 300 gram dengan harga antara RM3 hingga RM10.

Pengusaha belacan, Arnie Herman, 42, berkata bulan Februari dan Mac merupakan musim bubuk yang ditunggu-tunggu oleh pembuat belacan untuk mendapatkan bubuk lebih segar untuk menghasilkan belacan dan cencaluk.

“Pada ketika itulah pembuat-pembuat belacan akan menghasilkan stok-stok belacan dalam kuantiti yang banyak untuk dijual sepanjang tahun,” katanya.