Belait siap siaga sertai Kejuaraan Olahraga Terbuka

Belait siap siaga sertai Kejuaraan Olahraga Terbuka

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 14 Okt – Kontinjen Olahraga Daerah Belait hari ini menerima penajaan persendirian daripada Dayangku Roslina binti Pengiran Razali untuk baju seragam para atlet daerah tersebut ke Kejuaraan Olahraga Terbuka ke-5 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tutong, Daerah Tutong pada 17 dan 18 Oktober ini.

Dayangku Roslina yang juga dilantik sebagai Pengurus Pasukan menyerahkan baju-baju tersebut kepada Ketua Jurulatih kontinjen itu, Awang Fidel Entegro Gallerno dalam satu acara penyampaian yang berlangsung di Padang Olahraga Maktab Anthony Abell, Seria, di sini.

Kejuaraan yang akan berlangsung selama dua hari itu membabitkan 34 atlet, 24 lelaki dan 10 wanita yang akan bertanding dalam pelbagai acara sukan seperti larian 100 meter, 200 meter, larian berganti-ganti, 400 meter, 800 meter, 1500 meter dan 2000 meter, serta acara lompat jauh, lontar lembing, lompat pagar dan lontar peluru.

Menurut Pengurus Pasukan, atlet-atlet telah dipilih berdasarkan ujian prestasi yang diadakan setiap bulan dan mereka yang terpilih telah menjalani latihan selama enam bulan dan berasa yakin dengan kemampuan para atlet yang akan mewakili ke kejuaraan terbuka itu nanti.

Pengurus Pasukan Dayangku Roslina menyerahkan baju seragam kepada Ketua Jurulatih kontinjen Daerah Belait, Awang Fidel.
Pengurus Pasukan Dayangku Roslina menyerahkan baju seragam kepada Ketua Jurulatih kontinjen Daerah Belait, Awang Fidel.

“Sebagai persiapan untuk kejuaraan tersebut, lima daripada atlet yang terpilih di sini telah menyertai di Kejuaraan Olahraga Terbuka di Filipina pada bulan Mac yang lalu dan golongan atlet yang ada di dalam kontinjen ini adalah campuran mereka yang pernah mengikuti acara olahraga terbuka yang lalu dan mereka yang baru dipilih bagi kejuaraan di Tutong nanti,” jelas Dayangku Roslina kepada wartawan Media Permata.

Menurutnya lagi, selain daripada atlet yang berprestasi dan berpotensi tinggi untuk mencapai kejayaan di acara itu nanti, beliau juga menyatakan bahawa seluruh kontinjen ini menaruh harapan tinggi pada dua atlet yang diharap akan mendapat pingat nanti.

“Salah seorang pelari wanita itu ialah Dayang Maizurah binti Abdul Rahim berumur 16 tahun, yang juga adalah seorang atlet kebangsaan yang akan menyertai sembilan acara manakala Awang Nazri bin Naim yang berumur 23 tahun, juga seorang atlet kebangsaan akan menyertai larian lompat pagar 400 meter,” tambahnya lagi.

Dayangku Roslina juga memberitahu bahawa logo bagi baju seragam berwarna biru, merah dan bergaris putih itu mempunyai seekor burung helang di tengah-tengah baju tersebut yang membawa maksud moto “Hunger For Victory.”

ARTIKEL YANG SAMA