Belajar ilmu ikhtiar hidup

Belajar ilmu ikhtiar hidup

Oleh Sim Y.H.

Gambar oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Pembelajaran sesuatu ilmu berguna yang dapat digunakan semasa menghadapi situasi kecemasan adalah perlu sebagai satu kelebihan dalam langkah persediaan menghadapi suasana sebenar.

Ilmu ikhtiar hidup merupakan keupayaan atau keadaan sesuatu itu untuk terus hidup yang harus diketahui oleh setiap individu yang ingin menceburkan diri dalam kegiatan luar. Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ikhtiar hidup sangat penting kerana kegiatan luar itu sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan risiko.

Sehubungan itu, seramai 15 orang ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang terdiri daripada Pengakap Kelana dari Pasukan 1033 Pengakap Kelana Terbuka Gadong menyertai latihan pembelajaran asas ilmu ikhtiar hidup iaitu mengenai memasak cara hutan yang diadakan di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Jalan Gadong, hari ini.

Turut serta dalam latihan itu ialah seramai 20 orang ahli Pengakap Muda dan Pengakap Remaja daripada Pasukan Pengakap Sekolah Menengah Rimba bersama empat orang pemimpin pasukan pengakap sekolah berkenaan.

Ahli-ahli pengakap telah diberikan penerangan dan tunjuk ajar mengenai kaedah dan teknik menyalakan api menggunakan bahan-bahan alami dan memadamkan selepas menggunakannya, memasak nasi menggunakan bekas kotak minuman, membuat roti lilit daripada tepung gandum, memanggang ubi kentang menggunakan kerajang aluminium dan memanggang ayam secara langsung menggunakan bara dan kerajang aluminium.

Ahli-ahli Pengakap Kelana menunjukkan cara memasak nasi menggunakan bekas kotak minuman.
Ahli-ahli Pengakap Kelana menunjukkan cara memasak nasi menggunakan bekas kotak minuman.

Selepas memasak, mereka kemudian menikmati masakan hasil daripada tangan mereka sendiri itu.

Melalui pendedahan dan latihan praktikal dalam ilmu ikhtiar hidup memasak cara hutan tanpa menggunakan sebarang peralatan memasak yang serba moden seperti menggunakan dapur gas, kuali dan minyak
yang dilalui oleh ahli-ahli diharapkan dapat memberi pengalaman yang sangat berguna sebagai persediaan ketika mengadakan kegiatan luar.

Dalam konteks kegiatan luar, ikhtiar hidup merupakan usaha atau ikhtiar yang harus dilakukan oleh seseorang itu supaya dia terus hidup ketika menghadapi sebarang ancaman.

Situasi ikhtiar hidup boleh berlaku semasa mengadakan kegiatan luar iaitu aktiviti berkhemah dalam hutan sekiranya kehabisan bekalan makanan dan minuman yang dibawa, ancaman binatang, masalah perlindungan dan lain-lain kejadian yang di luar jangkaan.

Situasi itu dapat diatasi dan dicegah daripada berlaku melalui perancangan dan persiapan dengan teliti dan menyeluruh sama ada daripada segi ketahanan mental (pengetahuan), fizikal (kecergasan stamina individu), teknikal (kemahiran) dan material (peralatan, pakaian dan bekalan).

ARTIKEL YANG SAMA