Belajar seni decoupage

Belajar seni decoupage

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Kanak-kanak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, pagi tadi, telah dihiburkan dengan projek amal Geng Cinta Decoupage (GCD) dalam usaha untuk berkongsi kemahiran kesenian dari segi menghias dan mereka bentuk semula barang-barang yang boleh dikitar semula.

Seramai 15 ahli GCD yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membuat projek decoupage bersama kanak-kanak Pusat Ehsan.

Menurut salah seorang pengajar GCD, Hajah Sauyah binti Haji Mahmud semasa ditemui Media Permata menyatakan bahawa projek amal ini merupakan salah satu aktiviti untuk memperkembangkan lagi seni decoupage di negara ini di samping memberikan dan berkongsi kemahiran baru bersama kanak-kanak Pusat Ehsan.

Aktiviti decoupage yang berasal daripada perkataan Perancis dan dikenali sebagai seni menghias dan mencantikkan sesuatu objek dan barang yang boleh dikitar semula seperti kotak, bakul, kantung dan pasu kaca, tin, perabot dan sebagainya dengan cara memotong dan menampal kertas gambar guntingan pada objek tersebut.

Kanak-kanak istimewa Pusat Ehsan bergambar ramai bersama ahli GCD.
Kanak-kanak istimewa Pusat Ehsan bergambar ramai bersama ahli GCD.
Hajah Sauyah semasa ditemu bual oleh Media Permata.
Hajah Sauyah semasa ditemu bual oleh Media Permata.

Menurut Hajah Sauyah, GCD yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu, setakat ini sudah mempunyai 70 orang ahli dari tiga daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan juga Daerah Belait.

Menerusi persatuan itu, beberapa orang ahli GCD yang sudah mahir dalam bidang decoupage telah mula menubuhkan perusahaan-perusahaan mereka sendiri dan menyertai ekspo-ekspo yang diadakan dengan menjual hasil produk decoupage mereka.

Hajah Sauyah juga berharap agar kanak-kanak istimewa dan ahli-ahli Pusat Ehsan yang lain untuk mengambil baik kemahiran yang dikongsikan melalui projek amal ini agar mereka juga akan dapat menghasilkan produk-produk decoupage mereka sendiri dalam membantu meningkatkan lagi kewangan pusat tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA