Belanda malang, Turki terus bersaing

Belanda malang, Turki terus bersaing

AMSTERDAM, 14 Okt – Belanda gagal layak ke Kejuaraan Eropah (Euro) buat pertama kali sejak 1984 apabila tewas 3-2 kepada Republik Czech pada kempen kelayakan, semalam.

Beraksi di laman sendiri, Belanda yang memenangi tempat ketiga di Piala Dunia tahun lalu sedar peluang mereka memang pudar malah melepaskan dua gol pada babak pertama.

Bekas juara Eropah itu menduduki tempat keempat Kumpulan A dan satu-satunya harapan untuk cuba melayakkan diri ialah menang dan mengharapkan Turki tewas.

Begitu pun, keputusan sebaliknya dicatat malah Turki jelas tidak mahu mensia-siakan peluang untuk terus bersaing apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Iceland di tempat sendiri.

Kemenangan menyaksikan Turki menempah tiket perlawanan play-off, bulan depan selaku pasukan ketiga terbaik. Republik Czech muncul juara kumpulan diikuti Iceland.

Para pemain Republik Czech meraikan kejayaan menghasilkan gol ketiga mereka pada kelayakan Euro 2016 menentang Belanda di Amsterdam Arena di Amsterdam, pada 13 Oktober  2015. – AFP
Para pemain Republik Czech meraikan kejayaan menghasilkan gol ketiga mereka pada kelayakan Euro 2016 menentang Belanda di Amsterdam Arena di Amsterdam, pada 13 Oktober 2015. – AFP

Pemain Czech, Pavel Kaderabek dan Josef Sural mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pada babak pertama sebelum Rovin van Persie menanduk gol sendiri pada minit ke-66.

Gol sagu hati Belanda dijaringkan Klaas-Jan Huntelaar dan Van Persie. Dalam pada itu, Croatia menempah tiket ke Perancis selepas membenam Malta 1-0 selaku naib juara Kumpulan H di belakang Itali.

Keputusan itu jelas mengecewakan Norway yang memulakan perlawanan di atas Croatia sebelum tewas 2-1 kepada Itali. – AFP