Belanda renungi nasib malang ‘bola sepak total’

THE HAGUE, 12 Okt – Penyokong bola sepak Belanda bersedih selepas skuad Oranje yang suatu ketika adalah antara pasukan terkuat gagal mara ke Piala Dunia 2018, sekali gus menghantar pencipta ‘bola sepak total’ itu mencari semula jiwa yang sudah hilang.

Dua jaringan daripada legenda yang mahu bersara, Arjen Robben ketika berdepan Sweden tidak mampu menyelamatkan jentera bola sepak Belanda, yang kini gagal mara ke dua kejohanan utama berturut-turut.

Selepas aksi semalam, kapten Belanda itu mengumumkan bersara daripada pasukan kebangsaan – menandakan penamat era yang menyaksikan dia dan pemain utama lain seperti Wesley Sneijder, Robin van Persie dan Rafael van der Vaart mengancam bagi memenangi hadiah terbesar bola sepak.

Begitupun hampir dua tahun lalu, Belanda menerima kejutan besar apabila tewas 2-3 di laman sendiri berdepan Republik Czech yang bermain 10 orang, menyaksikan mereka gagal ke Euro 2016.

Malam semalam menyaksikan ‘episod duka lengkap: Piala Dunia 2018 di Russia berlangsung tanpa Belanda, nombor dua pada 2010 dan nombor tiga pada 2014’, kata akhbar De Volkskrant.

Reaksi pemain Belanda selepas kempunan Piala Dunia Rusia walaupun menang 2-1 ke atas Sweden. – AFP

“Saya amat malu kerana Belanda 11,” kata kolumnis Hugo Borst dalam ruangan akhbar Algemeen Dagblad sambil menambah pasukan itu ‘hilang kreativiti dan kekuatan’.

“Tiada pasukan lain di dunia bermain di atas dan bawah sebanyak Belanda,” katanya.

“Sebaliknya, bola sepatutnya dibawa ke atas, terus dan menyerang, tulen dan mudah. Bermain lebih atas dan ke bawah dilakukan oleh pemain bola sepak sederhana yang kurang keyakinan diri,” kata Borst.

Marco van der Heide, bekas pemain profesional SC Cambuur dan pengkritik bola sepak bersetuju dengan pandangan itu.

“Saya rasa kelemahan terbesar ketika ini ialah tahap taktikal. Ada perbezaan yang besar bagaimana kita melakukannya di sini dan bagaimana ia dilakukan di luar Belanda,” katanya. – AFP