Belanda tersungkur

Belanda tersungkur

PARIS, 6 Sept (AFP) – Iceland mengorak langkah besar dalam usaha memburu tiket ke Kejohanan Eropah (Euro) 2016 setelah mencipta kejutan menewaskan Belanda 1-0 semalam, sekali gus meletakkan skuad Oranje dalam bahaya gagal ke pusingan akhir di Perancis.

Penalti yang disempurnakan Gylfi Sigurdsson pada minit ke-51 memastikan Iceland kekal di kedudukan teratas Kumpulan A setelah mengumpul 18 mata, lapan mata di depan pemenang pingat gangsa Piala Dunia, Belanda yang kini menghuni tempat ketiga dengan baki tiga perlawanan berbaki.

Persembahan kurang meyakinkan sebelum ini telah menyebabkan Guus Hiddink dipecat, dan jurulatih baharu, Danny Blind kini terpaksa mengharungi tempoh sukar di Amsterdam. Dengan situasi yang cukup menekan, Belanda kini begitu terdesak untuk memburu kemenangan.

Malah, mereka juga nyaris dibolosi seawal minit ketujuh, mujur penyerang Iceland, Jon Dadi Bodvarson terlepas peluang keemasan yang terhidang.

Belanda kehilangan ketua pasukan Arjen Robben, yang ditimpa kecederaan pangkal paha ­ selepas setengah jam permainan berlangsung dan dia digantikan dengan Luciano Narsingh.

Keadaan semakin buruk untuk skuad tuan rumah apabila pemain pertahanan, Bruno Martins Indi diarah keluar padang pada minit ke-33 kerana menarik leher penyerang Kolbeinn Sigthorsson.

Hari malang mereka berterusan selepas rehat setelah pemain tengah Swansea, Sigurdsson menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan setelah Gregory van der Wiel menjatuhkan Birkir Bjarnason. Belanda yang berada di kedudukan ketiga Kumpulan A ketinggalan di belakang Republik Czech yang menewaskan Kazakhstan 2-1, berterima kasih kepada jaringan pada penghujung permainan oleh Milan Skoda pada minit ke-74 dan 86.

Belanda kini berdepan misi wajib menang dalam kunjungan mereka ke Turki yang mencatat keputusan seri 1-1 dengan Latvia. Republik Czech pula akan ke Latvia, manakala Iceland bakal menanti Kazakhstan di laman sendiri untuk mengesahkan tempat buat kali pertama ke Euro.

ARTIKEL YANG SAMA