Belanja besar, malu besar

Belanja besar, malu besar

HONG KONG, 5 Mei (AFP) – Kelab berbelanja besar mengalami tamparan hebat selepas menyaksikan penyandang kejuaraan Guangzhou Evergrande dan Jiangsu Suning tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC.

Hanya beberapa bulan selepas mereka berulang kali memecahkan rekod perpindahan Asia untuk mengupah pemain ternama, kedua-dua pasukan begitu hambar dalam pertandingan serantau bagi mendapatkan tempat dalam Piala Dunia Kelab FIFA.

Evergrande Luiz Felipe Scolari tidak menampakkan rentak juara apabila mereka tersingkir ketika permainan berbaki satu perlawanan. Kedua-dua kelab besar China terkeluar selepas mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan peringkat kumpulan.

Penyerang Evergrande Jackson Martinez yang dilanda kecederaan gagal mengisi kekosongan tinggalan Elkeson – sekarang bersama Shanghai IPG – sejak tiba dari Atletico Madrid.

Semalam, barisan utama Jiangsu menurunkan pemain termahal Asia Alex Teixeira, bekas midfield Chelsea, Ramires dan Jo, yang telah beraksi untuk Manchester City dan Brazil, tetapi hanya seri 2-2 dengan Jeonbuk Hyundai Motors untuk menyertai Evergrande di luar padang.

Kegagalan kelab berbelanja besar semakin hangat diperkatakan minggu ini selepas kelab kerdil Leicester City mengejutkan pasukan glamor bola sepak Inggeris untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris yang luar biasa.

Pada Januari dan Februari, pasukan China memecahkan rekod perpindahan Asia sebanyak empat kali sehingga mengatasi kelab mega kaya Liga Perdana Inggeris.

Tuduh-menuduh semakin liar terutama terhadap juara Cina Evergrande yang melantik presiden baru dalam rombakan bulan lepas. Evergrande dilaporkan bergelut dalam perjuangan mereka di Asia.

Peluang dalam bola sepak sering diikuti dengan penuh minat oleh golongan kaya China selepas Presiden Xi Jinping melancarkan usaha untuk membangunkan gergasi yang sedang tidur kepada kuasa bola sepak dunia.

Evergrande telah memenangi Liga Juara-Juara dua kali dalam tempoh tiga tahun yang lalu, ditambah lima gelaran liga berturut-turut Cina, tetapi tewas kepada Sydney FC dan Urawa Red Diamonds telah mengubah nasib mereka.