Belanja jika perlu – Wenger

Belanja jika perlu – Wenger

LONDON, 30 Julai (Agensi) – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan pembelian pemainnya tidak akan dipengaruhi kelab lain ketika beliau mempersiapkan diri bagi pertembungan Perisai Komuniti menentang juara Chelsea, Ahad ini.

Bos Blues, Jose Mourinho membayangkan kelmarin perbelanjaan Gunners akhir-akhir ini mengatasi Chelsea.

“Kami berbelanja bila kami fikirkan perlu dan tidak mendengar apa orang lain kata,” ujar Wenger.

Arsenal memenangi Piala FA buat musim kedua berturut-turut Mei lalu dan berakhir di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, 12 mata di belakang juara Chelsea.

Penjaga gol Petr Cech, yang dibeli dari Chelsea, kekal satu-satunya pembelian Arsenal pada musim panas setakat ini sekalipun pengarah Lord Harris menyatakan minggu lalu kelab itu boleh “membeli hampir mana-mana pemain.”

Wenger menyelia pasukannya ketika menentang Lyon untuk Piala Emirates di Stadium Emirates 25 Julai lalu. – Reuters
Wenger menyelia pasukannya ketika menentang Lyon untuk Piala Emirates di Stadium Emirates 25 Julai lalu. – Reuters

Bagaimanapun Mourinho percaya pasukan Wenger boleh mencabar kejuaraan pada musim baru berikutan pembelian mereka dalam tempoh dua tahun terakhir.

“Jika anda mengira jumlah perbelanjaan kelab itu dalam tempoh tiga atau empat tahun, saya fikir anda mungkin terkejut,” kata pengendali Portugis itu.

“Jika anda mengira harga Mesut Ozil serta Alexis Sanchez, serta Calum Chambers dan Mathieu Debuchy, anda mungkin terperanjat.”

Wenger berbelanja 35 juta pound terhadap Sanchez pada musim panas lalu selain mencipta rekod kelab 42.4 juta pound ke atas perancang utama Ozil pada 2013.

Namun pengendali berbangsa Perancis itu menempelak dakwaan Mourinho, sebaliknya menegaskan mengenai rekodnya menyerap pemain muda ke dalam pasukan utama.

“Apabila kami ada wang, kami berbelanja. Kami hanya mahu membuat keputusan tepat. Saya fikir lebih baik tidak mendengar apa orang lain kata kerana kadang kala pada minggu sama saya mempunyai dua pendekatan berbeza: satu saya tidak cukup berbelanja dan satu lagi terlalu banyak.”

Kedua-dua pasukan Liga Perdana Inggeris itu bertemu di Stadium Wembley Ahad ini bagi perlawanan tradisi pembuka tirai musim dengan Liga Perdana bermula 8 Ogos ini.

ARTIKEL YANG SAMA