Belanjawan Britain bantu masyarakat hadapi Brexit

Belanjawan Britain bantu masyarakat hadapi Brexit

LONDON, 23 Nov – Britain pada hari ini membentangkan belanjawan pertama sejak referendum Brexit, dengan kerajaan berharap untuk mengurangkan langkah berjimat-cermat yang terjejas oleh ketidakpastian kewangan yang menyelubungi strategi negara untuk keluar daripada EU.

Menteri kewangan kerajaan Konservatif Philip Hammond menyampaikan Belanjawan Musim Luruh di parlimen pada kira-kira 1230 GMT, lima bulan selepas pengundian Brexit.

“Hammond akan menggunakan Belanjawan Musim Luruh pertamanya untuk melancarkan beberapa siri langkah yang bertujuan mempertingkat taraf hidup penduduk kelas kerja biasa dan keluarga mereka,” kata Bendahari dalam satu kenyataan.

Di antara janji utama beliau, Canselor Exchequer Hammond akan mengumumkan pelaburan berjumlah 1.4 bilion pound untuk membantu membina 40,000 “rumah yang mampu milik”. Sementara itu, beliau akan menambah Gaji Hidup Nasional kepada 7.50 pound satu jam pada April daripada 7.20 pound.

“Kami perlu bersedia untuk menghadapi peluang dan cabaran” yang timbul daripada Brexit, umum Hammond pada Ahad, sementara mengingatkan bahawa Britain masih menghadapi defisit ekoran krisis kewangan global 2008 yang telah mencetuskan pemotongan perbelanjaan kerajaan UK selama hampir satu dekad.

Gambar fail 9 September 2016 menunjukkan Philip Hammond semasa Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri bagi hal ehwal ekonomi dan kewangan, di Bratislava, Slovakia. Britain kelmarin membentangkan belanjawan pertama sejak referendum Brexit. – AP
Gambar fail 9 September 2016 menunjukkan Philip Hammond semasa Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri bagi hal ehwal ekonomi dan kewangan, di Bratislava, Slovakia. Britain kelmarin membentangkan belanjawan pertama sejak referendum Brexit. – AP

Data rasmi mendedahkan semalam pinjaman kerajaan yang lebih kecil daripada dijangka pada 4.8 bilion pound pada Oktober berbanding setahun sebelumnya disebabkan pendapatan cukai yang memberangsangkan. Namun, Hammond pada hari ini dijangka menambah ramalan pinjamannya disebabkan pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah daripada dijangka sebelum pemisahan Britain daripada EU.

Kumpulan penyelidikan Capital Economics percaya Penyata Musim Luruh akan menggaris kasar pakej perangsang yang “sederhana” berjumlah kira-kira 7 bilion pound dalam 12 bulan hingga akhir Mac 2018. “Ia akan membantu menghapus kira beberapa kesan negative ketidakpastian berkaitan dengan Brexit ke atas ekonomi,” katanya.

Ekonomi Britain masih kukuh sejak referendum tetapi beberapa pakar percaya pemisahan Britain daripada EU masih mungkin mencetuskan krisis ekonomi. – AFP