Belgium ke Euro 2016 tanpa Kompany

Belgium ke Euro 2016 tanpa Kompany

MANCHESTER, 8 Mei (AP) – Kapten Belgium, Vincent Kompany berkata dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Kejuaraan Eropah (Euro) tahun ini.

Pertahanan tengah berusia 30 tahun itu dipalit kecederaan paha ketika kekalahan Manchester City kepada Real Madrid pada pertembungan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis lalu.

Ia adalah siri kecederaan terbaru menimpa Kompany yang sebelum ini banyak menghabiskan masanya musim ini di bangku simpanan City selepas dihimpit masalah betis. Kompany dalam laman Facebooknya menulis: “Saya akan terlepas Euro. Bagi saya ia adalah berita yang menyedihkan.

“Saya boleh berdiri di sini, merasa kasihan dengan diri saya. Saya mungkin bimbang mengenai karier saya, seperti ramai orang lain lakukan. Saya boleh berputus asa. Namun ia bukan saya.

“Saya akan memutuskan masa depan saya,” katanya. Euro 2016 yang dijadual berlangsung di Perancis, bulan depan menyaksikan Belgium diundi bersama Itali, Ireland dan Sweden dalam Kumpulan E.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Arsenal bakal menamatkan pencarian penyerang bertaraf dunia apabila dilapor sudah bersedia untuk mengemukakan tawaran bernilai 30 juta pound bagi mendapat khidmat penyerang Liverpool, Daniel Sturridge.

Ia susulan berita mengenai pengurus The Reds, Jurgen Klopp yang masih belum pasti mahu menjadikan Sturridge sebagai penyerang utama kelab itu musim depan.

Masa depan Sturridge menjadi tanda tanya apabila Klopp sekadar meletakkan dia di bangku simpanan ketika menentang Villarreal di El Madrigal dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa biarpun jaringan pemain itu pada aksi kedua membuktikan dia berhak berada dalam kesebelasan utama.

Liverpool meletakkan tanda harga sebanyak 30 juta pound untuk Sturridge tetapi rekod kecederaan yang sering menghantui pemain berusia 26 tahun itu kemungkinan besar menyaksikan nilainya berkurangan.

ARTIKEL YANG SAMA