Belgium kejar Norway dari belakang

Belgium kejar Norway dari belakang

BRUSSELS, 6 Jun – Pertahanan Montreal Impact, Laurent Ciman masuk ke padang daripada bangku pemain simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan tatkala Belgium bangkit menewaskan Norway 3-2 dalam aksi terakhir menjelang Euro 2016, awal pagi tadi.

Romelo Lukaku dan Eden Hazard pada awalnya menyumbang gol untuk tuan rumah di Brussels selepas Norway menghasilkan gol menerusi Joshua King dan Veton Berisha pada kedua-dua babak perlawanan.

Keputusan itu membolehkan skuad kendalian Marc Wilmots melengkapkan persiapan positif ke Euro 2016 berikutan kemenangan 2-1 di Switzerland dan terikat 1-1 dengan Finland di laman sendiri sebelum ini.

Persiapan Belgium, yang berada dalam Kumpulan E bersama Itali, Republik Ireland dan Sweden, bagaimanapun sedikit terjejas ekoran masalah kecederaan yang menimpa beberapa pemain tonggaknya.

Namun ancaman jentera serangannya tidak boleh dipersoalkan dan penyerang Everton, Lukaku – yang mana abangnya dibawa masuk sebagai pertahanan kiri – membuka tirai jaringan seawal tiga minit permainan berlangsung di Stadium King Baudouin dengan percubaan dari dalam kotak penalti.

Romelu Lukaku (jersi 9) cuba mendapatkan bola daripada pihak lawan. – AFP
Romelu Lukaku (jersi 9) cuba mendapatkan bola daripada pihak lawan. – AFP

Bagaimanapun, Norway, yang terkandas pada pusingan kelayakan ke Kejohanan Eropah, menyamakan kedudukan menerusi penyerang Bournemouth, King dan percubaan menarik daripada Berisha meletakkan mereka di depan sebaik bersambung babak kedua.

Jaringan penyamaan Belgium hadir 20 minit sebelum tamat perlawanan selepas hantaran Lukaku menemui Kevin De Bruyne dengan hantaran lintangnya daripada sebelah kanan ditanduk masuk Hazard.

Tiga minit kemudian, Belgium meraih gol kemenangan apabila Toby Alderweireld bijak menyambung bola sepakan sudut Dries Mertens untuk disudahkan Ciman.

Ia adalah gol pertama antarabangsa Ciman, bekas pertahanan Standard Liege yang berpindah ke saingan MLS tahun lalu. – AFP