Belgium keluarkan video suspek pengeboman

Belgium keluarkan video suspek pengeboman

BRUSSELS, 8 April (AFP) – Pihak pendakwa Belgium semalam membuat rayuan baru bagi membantu mencari penyerang disyaki yang terselamat dalam pengeboman lapangan terbang Brussels bulan lalu, dengan mengeluarkan video laluan melepaskan diri yang diambil oleh lelaki yang digelar ‘lelaki bertopi’

Pihak polis terdesak mencari tersangka ketiga sejak dia dilihat dalam CCTV bersebelahan dua orang pengebom berani mati yang meletupkan diri mereka sendiri di lapangan terbang dalam serangan yang diselaraskan yang juga menyerang stesen metro Brussels. Sejumlah 32 orang terbunuh.

Video polis yang baru dikeluarkan menunjukkan lelaki itu, yang memakai topi gelap dan jaket berwarna terang melarikan diri dari dewan perpisahan lapangan terbang selepas bom meledak pada pukul 7:58 pagi pada 22 Mac.

Rakaman CCTV menunjukkan dia meneruskan laluannya dengan berjalan kaki ke arah tengah Brussels tempat kamera pengawasan kehilangan jejaknya pada pukul 9:50 pagi. Sepanjang jalan itu orang yang diburu itu membuang jaketnya dan pada satu tahap nampaknya sedang bertelefon.

“Kami terutamanya merayu kepada sesiapa yang mungkin mempunyai rakaman atau merasa mereka telah menggambar tersangka,” jurucakap Eric Van der Sypt memberitahu sidang media untuk mendedahkan video itu.

Eric Van Der Sypt mengadakan sidang akhbar bagi membentangkan notis pencarian polis bagi suspek ketiga dari serangan lapangan terbang Brussels di Ibu Pejabat Pendakwa Persekutuan di Brussels Khamis lalu. – AFP
Eric Van Der Sypt mengadakan sidang akhbar bagi membentangkan notis pencarian polis bagi suspek ketiga dari serangan lapangan terbang Brussels di Ibu Pejabat Pendakwa Persekutuan di Brussels Khamis lalu. – AFP

Para penyiasat dengan segera sedang mencari jaket itu, yang disifatkan dalam kenyataan yang menyertai video itu sebagai berwarna terang ‘dengan hud di dalam yang berwarna gelap’.Sekiranya jaket ini ditemui, ini mungkin memberi maklumat berharga bagi para penyiasat.”

Saksi-saksi yang berpotensi diminta untuk menghubungi pihak polis dengan menggunakan telefon yang telah ditetapkan dan alamat e-mel. Minggu lalu polis meminta semua penduduk dan para pemilik perniagaan di rantau Brussels yang memiliki kamera pengawasan luar supaya tidak memadamkan mana-mana gambar dari tarikh 15 Mac.

Pihak berkuasa Belgium dikritik kerana tidak cukup berusaha untuk menangani peningkatan ekstremisme di negara sendiri, ketika hubungan rapat muncul antara para penyerang Brussels dan mereka yang dalang di sebalik serangan ganas Paris pada November lalu yang mengorbankan 130 orang. Kumpulan Islamic State (IS) telah mengaku bertanggung jawab di atas kedua-dua serangan itu.