Belgium lancar Ops Anti Pengganas

Belgium lancar Ops Anti Pengganas

BRUSSELS, 21 Jun (AFP) – Operasi anti pengganas sedang dijalankan di pusat membeli-belah di tengah Brussels hari ini, pendakwa Belgium memberitahu agensi Belga News, yang menambah bahawa seorang suspek telah ditahan.

Perdana Menteri Charles Michel mengadakan mesyuarat tergempar bersama ahli kabinet keselamatan, media Belgium melaporkan.

Insiden bermula pada sekitar 6:30 pagi (0430GMT) hari ini selepas laporan seorang lelaki berkelakuan meragukan dilihat berhampiran pusat membeli-belah City 2 yang mencetuskan amaran bom, badan penyiaran RTL melaporkan.

Pasukan skuad bom ditempatkan di pusat membeli-belah itu, salah sebuah pusat runcit di ibu negara Belgium.

Hanya satu laluan keluar masih dibuka di stesen metr0 Rogier yang berhampiran, di mana tentera memeriksa beg-beg dan barang penumpang. Gambar-gambar menunjukkan polis menutup kawasan itu serta-merta.

Seorang pegawai polis memberi laluan kepada kenderaan pakar bom untuk mematikan bom di kompleks membeli-belah City2 di Rue Neuve di Brusselss, semalam. – AFP
Seorang pegawai polis memberi laluan kepada kenderaan pakar bom untuk mematikan bom di kompleks membeli-belah City2 di Rue Neuve di Brusselss, semalam. – AFP

Belgium masih lagi merasakan kesan pengeboman nekad pengganas Negara Islam (IS) di lapangan terbang Brussels dan metro bandar raya itu pada 22 Mac yang meragut 32 jiwa dan mencederakan beratus yang lain.

Dan insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa Belgium mendakwa tiga lelaki dengan “percubaan membunuh” selepas membuat serbuan ke atas berpuluh buah rumah berhubung kepada laporan ancaman terhadap peminat ketika perlawanan bola sepak Euro 2016 sedang berlangsung.

Pendakwa mendakwa tiga orang lelaki, dinamakan sebagai Samir C., Moustapha B. dan Jawad B. tetapi membebaskan sembilan yang lain selepas siasatan.

Kawasan-kawasan yang disiasat termasuk kejiranan di Brussels di mana serangan jihadis pada November lalu di Paris dan penyerang nekad Brussels merancang serangan mereka.

Pihak berkuasa pada masa yang sama berkata mereka memberikan tindak balas kepada keperluan bagi “campur tangan segera”.