Belgium tangguh buka semula lapangan terbang Brussels

Belgium tangguh buka semula lapangan terbang Brussels

BRUSSELS, 30 Mac (AFP) – Lapangan terbang Brussels berkata ia tidak akan dibuka semula hari ini meskipun latihan ujian memulihkan sebahagian perkhidmatan selepas pengeboman berani mati yang telah melanda balai pelepasan dan sebuah kereta api metro, tatkala Belgium mengurangkan jumlah kematian kepada 32.

Lapangan terbang Zaventem telah ditutup sejak pengeboman berkembar memusnahkan balai pelepasan pada 22 Mac, dalam serangan berani mati yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State dan yang juga melanda stesen metro Maalbeek di tengah Brussels.

Seramai 32 orang terbunuh dalam serangan paling teruk di Belgium, kata kerajaan, merosot daripada jumlah 35 sebelumnya ekoran kekeliruan di antara dua senarai orang yang telah terbunuh di tempat kejadian dan di hospital.

Kesemua mangsa telah dikenalpasti sekarang – kebanyakan mereka warga asing, bukti kepada ciri-ciri kosmopolitan sebuah bandar yang menjadi tempat tinggal kepada Kesatuan Eropah dan NATO.

Beratus pekerja pulang ke lapangan terbang semalam untuk latihan ujian besar-besaran untuk menentukan sama ada perkhidmatan boleh diteruskan sebahagiannya mulai hari ini, namun harapan tersebut musnah.

Lebuh raya menghala ke lapangan terbang Zaventem di Brussels masih lagi ditutup. – AFP
Lebuh raya menghala ke lapangan terbang Zaventem di Brussels masih lagi ditutup. – AFP

Jurucakap lapangan terbang Anke Fransen berkata pihak berkuasa sedang mengkaji semula keputusan latihan, menambah: “Kami berharap dapat mencapai satu keputusan mengenai pembukaan sebahagian lapangan terbang pada pagi hari ini.”

Ketua eksekutif lapangan terbang Arnaud Feist mengingatkan ia mungkin mengambil masa “beberapa bulan” untuk Zaventem beroperasi sepenuhnya.

Air Brussels memberitahu AFP ia sedang mengalami “krisis paling serius” dalam sejarahnya disebabkan penutupan, dengan kehilangan pendapatan berjumlah kira-kira lima juta euro sehari.

Sistem metro bandar dijangka kembali kepada normal sekali lagi mulai hari ini, selain daripada stesen Maelbeek di mana pengeboman berlaku.