Beli 184 buah pesawat Airbus A320

BEIJING, 10 Jan – China telah memesan sebanyak 184 buah pesawat Airbus A320 yang akan dihantar kepada 13 buah syarikat penerbangan, menurut pegawai Perancis hari ini, ketika Presiden Emmanuel Macron mengakhiri lawatan rasminya ke negara itu.

Nilai perjanjian itu tidak didedahkan segera akan tetapi di bawah senarai harga syarikat itu, harga bagi setiap pesawat bernilai sekurang-kurangnya AS$18 bilion.

Pesawat-pesawat berkenaan akan dihantar pada tahun 2019 dan 2020.

Pengumuman itu muncul sehari selepas Macron mengadakan perbincangan bersama pemimpin China Xi Jinping dantelah menyaksikan penandatanganan beberapa perjanjian perdagangan yang jumlahnya tidak didedahkan.

Macron berkata Xi telah mengesahkannya semasa mesyuarat bahawa pesanan bagi pesawat Airbus akan dilakukan.

Gambar bertarikh 20 September 2017 menunjukkan seorang pekerja melewati pesawat yang sedang dalam pembinaan di Barisan Pemasangan Akhir pesawat Airbus A320 selepas majlis perasmian Airbus A330 di Pusat Penyiapan dan Penghantaran di Tianjin, China. – AFP

“Ia adalah sesuatu yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi, akan tetapi ia disahkan sendiri oleh presiden kepada saya,” menurut Macron ketika sidang media hari ini.

“Presiden Xi mengesahkan kepada saya bahawa China akan mengekalkan jumlah pesanannya pada tahun-tahun akan datang dan turut memelihara saham pasaran Airbus dan Boeing (pesaing dari AS),” tambahnya lagi.

Airbus telah mengumumkan semalam bahawa perjanjian adalah untuk meningkatkan pengeluaran A320 di China.

China merupakan pasaran penerbangan kedua terbesar di dunia, mematangkan lagi persaingan di antara Airbus dan Boeing

Ketika Presiden AS Donald Trump melawat Beijing November lalu, China bersetuju untuk membeli 300 buah pesawat Boeing yang bernilai kira-kira AS$37 bilion.

Syarikat gergasi aeroangkasa AS menganggarkan China akan memerlukan sebanyak 7,240 pesawat komersial dalam tempoh 20 tahun akan datang. – AFP