Beli-belah dalam talian kelaziman baru orang Malaysia

Beli-belah dalam talian kelaziman baru orang Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) – Beli-belah dalam talian kini menjadi kelaziman baharu kepada penduduk Malaysia, dengan hampir separuh daripada pengguna Malaysia membeli-belah dalam talian sekurang-kurangnya setiap bulan, demikian menurut Kajian 2016 Runcit Keseluruhan (Asia Tenggara).

Menurut Pricewaterhouse-Coopers (PwC) dalam satu kenyataan, pertumbuhan itu semakin memberangsangkan bagi pengguna Malaysia masih agak baharu didedahkan kepada pasaran dalam talian.

Pengguna Asia Tenggara kini mendahului dunia bagi corak penggunaan telefon bimbit untuk membuat pembelian, dengan 66 peratus masing-masing pengguna Malaysia dan Singapura, serta 73 peratus di Thailand menggunakan telefon mereka untuk membuat pembelian, berbanding purata global sebanyak 54 peratus.

Pengguna Malaysia juga mendahului negara Asia Tenggara lain dari segi pembacaan ulasan di media sosial (69%) dan mengakses tawaran promosi (74%).

Pengarah Eksekutif Kanan dan Ketua Perundingan Runcit dan Pengguna, Perundingan Asia Tenggara PwC, Scott Constance berkata maklumat berkenaan akan memperluaskan kemungkinan peruncit yang mahu melibatkan pengguna mereka secara individu.

“Ia juga menunjukkan cabaran kepada peruncit memandangkan pengguna akan memperluaskan rangkaian saluran bagi berinteraksi dengan jenama yang bersaing untuk mendapatkan perhatian mereka,” katanya.

Walaupun beli-belah dalam talian semakin meningkat, peranan kedai fizikal terus menjadi penting bagi pengguna tempatan yang inginkan kemampuan membeli kepelbagaian bekalan keseluruhan rangkaian kedai atau jenama berkenaan.

Selain itu kedai fizikal turut menyediakan keupayaan memberi akses maklumat kesediaan produk di lokasi berbeza untuk para pengguna.

ARTIKEL YANG SAMA