Belia aset berharga

Belia aset berharga

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Belia merupakan aset yang amat berharga bagi sesebuah negara kerana mereka menjadi tonggak bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

Oleh itu, penganjuran Kem Kepimpinan, Kem Qiadah XII, yang membawa tema ‘Remaja Berwibawa Kebanggaan Negara’, setentunya akan melahirkan belia yang bersikap positif, kreatif dan inovatif, mahir dalam pengurusan diri, amalan rohani, berorganisasi serta mampu memimpin.

Di samping itu juga, penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan mencabar sepanjang kem berkenaan mampu menjadikan mereka lebih matang, berfikiran terbuka dan berpandangan jauh.

Seramai 182 orang penuntut Tahun 9, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) menyertai Kem Qiadah XII yang berlangsung di Auditorium Maktab Sains, hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian kem kepimpinan selama tiga hari itu ialah Penolong Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sains, Hajah Nurliati bin Haji Mohd Idris.

Para peserta kem melafazkan ikrar pada majlis berkenaan.
Para peserta kem melafazkan ikrar pada majlis berkenaan.

pg07_160317_c

Hajah Nurliati ketika menghadiri majlis perasmian itu.
Hajah Nurliati ketika menghadiri majlis perasmian itu.

Kem Qiadah XIII yang merupakan inisiatif Maktab Sains memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai dengan pengalaman kehidupan harian dan juga dapat melahirkan pemimpin masa hadapan yang berketerampilan, tahan lasak, berdaya saing serta memiliki jati diri yang kukuh.

Selain itu, ia juga merupakan sebagai komitmen pihak maktab kepada masyarakat untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat dan aktif.

Melalui pelbagai kegiatan berkumpulan sepanjang kem itu, ia dipercayai mampu untuk memperkayakan lagi pengalaman dan kemahiran serta keyakinan diri para peserta melalui kegiatan-kegiatan yang dijalankan yang menitikberatkan aspek fizikal, mental dan emosi.

Semasa perkhemahan itu, para pelajar akan berpeluang menerokai Bandar Seri Begawan melalui kegiatan, BSB Rendezvous dan mengikuti kegiatan lasak yang akan menguji ketahanan fizikal mereka dalam acara Cabaran Bukit Shahbandar.

Para peserta juga akan menyertai pelbagai kegiatan menarik bertemakan Sains yang dikendalikan oleh Kumpulan Whizzers dari Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di mana para pelajar dapat menggilap kemahiran dan bakat mereka dalam bidang nyanyian, lakonan dan juga Sains.

Perkhemahan bermatlamat untuk melatih para peserta berdikari, tahan lasak, berdisiplin dan berdaya saing, membina keyakinan diri, bertolak ansur dan bekerjasama, mendidik mereka untuk memanfaatkan masa cuti dengan menyertai kegiatan yang berfaedah, menggilap bakat kepimpinan yang berketerampilan serta membina jati diri sebagai tunas bangsa yang bakal menjadi pemimpin.