Belia beri sumbangan besar pembangunan ABDB

Belia beri sumbangan besar pembangunan ABDB

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Belia merupakan sumbangan yang besar dalam pembangunan progresif Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kerana pengambilan rekrut adalah dari kalangan belia yang berumur 18 hingga 28 tahun dan selain itu juga, kebanyakan anggota ABDB adalah daripada golongan belia.

Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah berkata, tidak dapat dinafikan bahawa belia sebenarnya telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan progresif ABDB.

“Jika anda menyedari, 55 tahun yang lalu jumlah tentera adalah dalam lebih daripada 60 orang sahaja, tetapi sekarang ianya sudah berkembang, secara lebih tepatnya, lebih kurang 150 kali ganda daripada angka asalnya. Dan saya rasa ini adalah petunjuk yang sangat ketara dalam perkembangan kita dari awal penubuhannya hinggalah sekarang,” ujar beliau ketika ditemui semasa Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-55 Tahun yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, di Tanah Jambu, hari ini.

Yang Dimuliakan Pehin juga melahirkan perasaan bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah membuat banyak usaha untuk benar-benar membangun para belia.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih ketika ditemui Media Permata.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih ketika ditemui Media Permata.

pg03_160601_b

“Ketika kami merekrut para belia ini, kebanyakan mereka sudah dilatih, contohnya mereka sudah dilatih melalui program PKBN, secara tidak langsung meringankan tugas kami dalam melatih mereka.

“Apa yang kami perlu lakukan lagi adalah untuk meningkatkan dan mengasah lagi apa yang sudah mereka miliki. Dari sana juga, kami mendapat rekrut yang lebih baik bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari segi pemikiran dan fizikal mereka adalah lebih sihat.”

Menyentuh mengenai hotline atau juga dikenali sebagai Direct Communications Link (DCL) yang telah disentuh di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 tersebut, Pemerintah ABDB menjelaskan bahawa DCL adalah inisiatif Negara Brunei Darussalam melalui ADMM (Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN).

“Kami telah mencadangkannya dan ia telah diterima dengan baik oleh ahli-ahli (negara-negara ASEAN) dan sekarang adalah dalam proses bagi melaksanakannya,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau lagi, DCL telah memberi sumbangan ketara kepada pertahanan negara dan juga hubungan antara negara-negara ASEAN kerana terdapatnya cara untuk berkomunikasi secara langsung dan lebih cepat antara menteri-menteri untuk bercakap secara langsung jika ada sebarang isu.

Jadi ini akan meningkatkan pemahaman dan keyakinan antara semua menteri dalam negara-negara ASEAN, tambahnya.

Yang Dimuliakan Pehin, sebelumnya juga telah menekankan mengenai komunikasi yang telus (transparent communication) pada Pelancaran Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus MS & CT) yang berlangsung di perairan negara, dan berkaitan dengan itu, DCL adalah salah satu inisiatif ke arah komunikasi yang telus tersebut.

Beliau berharap apabila ia dilaksanakan nanti, mereka dapat lihat komunikasi yang lebih baik antara menteri-menteri di ASEAN.

Selain itu, Yang Dimuliakan Pehin juga menyentuh mengenai penglibatan wanita dalam ABDB. Beliau berpendapat bahawa wanita, bukan sahaja di ABDB, tetapi di seluruh Negara Brunei Darussalam, mahu dan berani menerima cabaran. di mana mereka telah menunjukkan keupayaan mereka dan bagaimana bagusnya mereka.

“Tidak banyak perbezaan yang ada di antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi dalam ketenteraan, mereka telah menunjukkan betapa bernilainya mereka dalam pertempuran peralatan (combat gear). Di dalam ABDB, kami telah memberikan peluang sama rata, dan mereka menyumbang mengikut kemampuan mereka.

“Saya dapat lihat mereka akan terus bersama kami bagi menyumbang kepada negara melalui ABDB dan kami juga akan terus memberikan peluang yang sama rata bagi meningkatkan rangkaian perintah (chain of command). Jika mereka cukup bagus untuk jawatan berkenaan, kami tidak akan menafikannya, kerana kami mahu bersikap adil kepada semua orang dengan tidak mengira jantina,” tekan beliau.

ARTIKEL YANG SAMA