Belia Brunei akan anjur acara kebudayaan

Belia Brunei akan anjur acara kebudayaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Brunei Participating Youth, Batch 41 (BPY 41) dengan kerjasama Badan Pergerakan Mahasiswa/i, Fakulti Seni dan Sosial Sains (bpmFASS) dan CityNeon akan menganjurkan acara kebudayaan dinamakan Youth Cultural Movement (YCM) selama tiga hari mulai 7 Ogos ini.

Menurut kenyataan penganjur, YCM akan bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam kecuali hari Jumaat yang bermula pada pukul 2 petang hingga 9 malam, bertempat di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.

Acara bertemakan “Warisan Tanah Airku” itu akan menampilkan persembahan budaya tradisi Brunei, Puak Kedayan, Kumpulan Putera Seni serta banyak lagi budaya popular dan pembangunan belia proaktif Brunei masa kini, seperti Majlis AIDS Brunei, SEEDS, Kendama, Parkour dan sebagainya.

Pelbagai persembahan juga disusun seperti silat dan gulingtangan diikuti dengan aktiviti-aktiviti menarik dan pertandingan yang berunsurkan budaya Brunei semasa acara itu nanti.

Acara itu adalah sebahagian daripada program susulan aktiviti-aktiviti BPY 41 yang antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran dan mendidik belia Brunei dengan budaya tradisi Brunei.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada budaya popular tempatan dan menarik minat belia-belia Brunei mengikuti lebih banyak program pembangunan belia dengan aktif dan produktif.

Antara program dalam acara itu melibatkan kedua-dua aktiviti moden dan tradisi diikuti dengan aktiviti-aktiviti, pertandingan dan pameran-pameran seperti tarik kalat, kejohanan futsal, memburu harta karun, Youth Got Talent, pertandingan membuat video dengan tema ‘Warisan Tanah Airku’ dan sebagainya.

Selain itu, juga terdapat persembahan pentas yang dipelbagaikan daripada tradisi hingga moden seperti silat, gulingtangan dan persembahan istimewa daripada artis-artis tempatan seperti Sai, Juan Madial, Fiqah P2F dan banyak lagi.

Untuk mengetahui lebih lanjut acara yang bakal mengumpul para belia itu bolehlah mengikuti perkembangannya di laman-laman sosial seperti Facebook (Youth Cultural Movement), Instagram (@youthculturalmovement2015) atau Twitter (@YCM2015).

ARTIKEL YANG SAMA