Belia Brunei mampu jadi peneraju pembangunan ICT

Belia Brunei mampu jadi peneraju pembangunan ICT

Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Golongan belia Brunei bukan sahaja mampu menjadi peneraju dalam pembangunan industri ICT negara tetapi mereka juga mampu menjadi usahawan yang menerajui syarikat mereka sendiri dalam memajukan lagi industri berkenaan.

Oleh itu, pelaksanaan Program Mentor dan Keupayaan (CAMP) oleh Pusat Pembangunan Penyelesaian Brunei (BSDC) merupakan salah satu usaha kerajaan dalam menumpukan kepada mempelbagaikan ekonomi dengan mempromosikan keusahawanan dalam kalangan belia tempatan.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (IT, e-Kerajaan dan Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Muhammad Nor Shafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan CAMP BSDC dan Perasmian Rakan Kongsi Tempatan BSDC yang berlangsung di Bangunan Teknologi dan Rekaan, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

Beliau turut menyatakan harapan agar para pelatih atau graduan di bawah program itu mampu menjadi contoh kepada graduan lain untuk meneroka bidang keusahawanan, sekali gus menunjukkan keberkesanan BSDC sebagai model yang terbukti bagi pembangunan industri ICT di Negara Brunei Darussalam.

Para graduan program tersebut menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan para graduan Program CAMP yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan para graduan Program CAMP yang diraikan.
Awang Muhammad Nor Shafiee menyampaikan ucapannya pada majlis itu.
Awang Muhammad Nor Shafiee menyampaikan ucapannya pada majlis itu.

Menurut Awang Muhammad Nor Shafiee, BSDC ditubuhkan pada 2013, dengan matlamat untuk melatih tenaga kerja masa akan datang bagi ekosistem IT di Brunei yang terus berkembang dan untuk membantu para graduan memulakan perusahaan mereka sendiri dengan membangunkan kompetensi, keyakinan dan kapasiti teknikal serta profesional mereka.

Beliau berkata, formula kejayaan yang dipraktikkan oleh pusat itu, adalah menerusi gabungan latihan akademik dan pengalaman kerja sebenar yang diperoleh menerusi perkongsian kepakaran daripada konsultan-konsultan Microsoft dan penglibatan dalam projek dunia nyata.

Oleh itu, Program CAMP menawarkan program latihan dipercepatkan bagi para peserta untuk membolehkan mereka menjadi Pemaju Penyelesaian Microsoft yang Diiktiraf (Microsoft Certified Solutions Developer – MCSD) dan membolehkan mereka maju ke hadapan dalam peranan keusahawanan dengan lebih cepat, ujar beliau.

“Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan pemaju aplikasi mahir yang mempunyai pengiktirafan industri dan pengalaman kerja sebenar.”

Mengulas mengenai kejayaan BSDC, Awang Muhammad Norshafiee berkata, sejak penubuhan BSDC pada 2013, seramai 11 orang pelatih telah berjaya menamatkan Program CAMP. Sebelum ini, Brunei tidak mempunyai MCSD, namun kini kesemua 11 orang yang tamat latihan itu adalah MCSD yang diiktiraf.

Beliau berkata bahawa hala tuju ke hadapan bagi BSDC adalah untuk meningkatkan lagi kerjasama dan sinergi dengan Darussalam Enterprise (DARe) untuk menyokong Program CAMP dan melahirkan usahawan yang berjaya serta berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah Kanan, APAC Microsoft, Fred Nylander dalam ucapannya pula berkata bahawa Microsoft terus komited untuk menyokong usaha BSDC dan akan membantu mengeksport bakat dan penyelesaian tempatan ke pasaran antarabangsa.

Dalam hubungan itu juga, beliau melahirkan penghargaan atas peluang yang diberikan dan kerjasama yang erat bersama kerajaan Brunei untuk sama-sama berusaha membentuk masa depan IT.

Beliau juga berkata, Microsoft akan terus membantu usahawan muda berkenaan untuk menjadikan impian mereka satu realiti.

Manakala, salah seorang graduan yang diraikan pada majlis berkenaan, Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob berkata bahawa pengalamannya menyertai program itu banyak mematangkannya dan kini beliau bukan sahaja bergiat aktif menerajui perusahaannya sendiri tetapi juga memberikan galakan kepada para belia untuk merebut peluang menyertai program berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau juga mengongsi pengalaman yang diperoleh dan berharap untuk menjadi inspirasi kepada golongan belia tempatan untuk menerokai dunia pemaju IT di Brunei.

Pada majlis itu, seramai lapan orang pelatih berjaya menamatkan dan menerima sijil mereka, yang mana daripada jumlah itu, enam orang telah berjaya untuk menubuhkan syarikat IT mereka sendiri.

Di samping itu, menerusi BSDC, syarikat-syarikat yang baru ditubuhkan itu, mampu untuk menyertai dan mendapatkan pelbagai projek dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pembangunan dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi.

ARTIKEL YANG SAMA